KUALA LANGAT: Kira-kira 8,000 hingga 10,000 kendereaan dijangka melalui Seksyen 1 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang melibatkan jajaran Banting menghubungkan dengan persimpangan bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) bermula pukul 12.01 tengah malam ini.
Jajaran sepanjang 12.5 kilometer (km) itu merupakan sebahagian daripada projek yang merentasi bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia menghubungkan Changkat Jering di Perak (Utara) ke Banting Selangor sepanjang 314.5 km.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sempena pembukaan itu juga kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya berkenaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama 30 hari bermula pukul 12.01 tengah malam ini sehingga 29 September depan.
“Atas dasar semangat Hari Kebangsaan Ke-67, Hari Malaysia dan Setahun MyJalan serta komitmen semua pihak dalam mendukung dasar Kerajaan Madani, saya dengan sukacitanya mengumumkan pengecualian tol diberikan kepada pengguna Lebuhraya WCE Seksyen 1 dari kedua-dua arah sehingga 11.59 malam pada 29 September.
“Manakala pengguna yang menggunakan Lebuhraya SKVE dari plaza tol sedia ada seperti Ayer Hitam, Saujana Putra, Telok Panglima Garang dan Pulau Indah untuk keluar ke Banting melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas, jumlah kadar tol bagi jajaran berkenaan mengikut kadar sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya WCE, hari ini.
Pembukaan jajaran itu menjadikan keseluruhan tiga seksyen Lebuhraya WCE bagi laluan di negeri ini dibuka, sementara Seksyen 2 sepanjang 7.2km menghubungkan SKVE dengan Shah Alam pula dijangka akan dibuka pada akhir tahun ini.
Bagi seksyen seterusnya yang menghubungkan Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara (Shapadu), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Barat 1 dan NKVE serta Assam Jawa dan Tanjong Karang dijangka dibuka pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, Alexander memberitahu, pembinaan Lebuhraya WCE disifatkan sebagai infrastruktur yang penting bagi negara khususnya di persimpangan bertingkat Lebuhraya SKVE kerana akan membuka lebih akses kepada pergerakan pengangkutan dari Pelabuhan Klang ke kawasan aktiviti ekonomi.
“Pembukaan seksyen tersebut tentunya membuka lembaran baharu dalam meningkatkan kemudahan kepada rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kemajuan di bahagian selatan Selangor khususnya di Kuala Langat.
“Kawasan perindustrian seperti di Kuala Langat dijangka boleh berkembang dengan lebih pesat dengan adanya kemudahan akses ke lebuh raya.
“Pelbagai projek pembangunan ketika ini sedang giat dilaksanakan di sekitar jajaran Lebuhraya WCE Seksyen 1 yang menawarkan pembangunan terancang, bersepadu merangkumi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan hub industri serta logistik bertaraf dunia,” ujarnya. – UTUSAN