Kegusaran melihat kes jenayah melibatkan gadis seusianya semakin meningkat saban hari, Iman Troye tampil untuk menasihati gadis di luar sana agar sentiasa berhati-hati dengan persekitaran mereka.
Iman Troye atau nama sebenarnya Iman Alyssa Sahabuddin juga menekankan kepentingan seorang gadis untuk sentiasa berjaga-jaga, terutamanya dengan orang yang tidak dikenali.
“Sebagai perempuan sememangnya kita kena tampil dengan lebih yakin tapi dalam masa yang sama kita harus untuk berjaga-jaga.
“Kita memang baik tapi belum tentu kita tahu orang di sekeliling macam mana sebab kita tak tahu apa orang lain rasa.
“Semua orang perlu ingat, selagi perkara yang tidak diingini dapat dielakkan, cuba elak dan jika boleh jangan bersendirian kerana nasib malang itu sememangnya kita tidak tahu bila akan terjadi,” katanya.
Menurut penyanyi Nang itu, di kala ini, lebih baik berkongsi lokasi atau keadaan diri setiap mas aterutama kepada keluarga atau orang yang boleh dipercayai.
“Jika perasan kawan-kawan tak balas mesej, atau senyap sahaja lebih dari lima hingga 12 jam pastikan kita cuba untuk cari mereka.
“Kalau betul-betul dalam 24 jam tak dengar apa-apa maksudnya kita kena buat sesuatu seperti menghubungi keluarga atau membuat laporan polis kerana belum tahu apa yang berlaku kepada mereka.
“Kita haruslah agar sentiasa berwaspada dengan sekeliling and prihatin dengan keberadaan orang kesayangan,” katanya katanya ketika ditemui Majlis Pelancaran Kotex Total Protection 2024 baru – baru ini.
Pada majlis sama, Iman turut melancarkan lagu baharu berjudul Teman Malam sebagai sebahagian promosi produk jenama tersebut.
SINGLE BAHARU
Bercakap mengenai perkembangan terbaru, penyanyi berusia 22 tahun itu tampil dengan single terbaru, Bunga Kemboja yang turut menampilkan pempengaruh, Adib Aidil sebagai ‘teman lelaki’ dalam muzik videonya.
Single tersebut hasil dicipta oleh Ezra Kong dan A Ramlee.
“Sebenarnya saya dah buat pelancaran awal untuk bahagian korus di aplikasi TikTok.
“Lagu tersebut catchy dan berbeza dengan lagu-lagu sebelum ini seperti Nang serta Harum Sundal Malam,” katanya.
Selain itu, Iman juga akan mengeluarkan tudung sebagai simbolik kepada keluarnya single terbaru ini.
“Tudung ini merupakan merchandise kepada lagu ini. Tudung ini dilengkapi bunga kemboja sebagai simbolik kepada lagu ini.
“Idea ini timbul sebab bunga kemboja itu sebenarnya. Sebabkan selalu kalau pakai tudung susah untuk selit bunga, jadi tudung itu memang saya letakkan terus.
“Lagu itu adalah macam versi lain macam Teman dan berkisarkan genre pop,” kongsinya.