Lebih 3,000 undang-undang lapuk bakal dinilai semula

Lebih 3,000 undang-undang lapuk bakal dinilai semula

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia melakukan usaha penilaian semula ke atas lebih 3,000 undang-undang lapuk yang didapati sudah tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Malahan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa isu itu kepada Kabinet minggu depan.

“Saya belum lagi bentang dalam mesyuarat jemaah menteri, namun insya-Allah dalam minggu depan, perkara tersebut akan diketengahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulan Ogos 2024 di sini hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan ada memanggil ketua setiausaha setiap kementerian bagi menilai balik akta yang tidak sesuai bagi membincangkan undang-undang yang tidak lagi relevan dan perlu ditambah baik supaya seiring dengan keperluan peredaran terkini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, setelah dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat, beliau akan mendapatkan pula keputusan sama ada perlu dibentuk jawatankuasa tertentu.

“Mungkin kita bakal ada jawatankuasa khas atau pun secara ad-hoc dan ini juga respons terhadap kenyataan oleh Perdana Menteri mengenai kes tanah Semantan Estate,” jelasnya.

Beliau merujuk maklum balas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu yang mahu agar semakan undang-undang dibuat semula bagi mengelak implikasi buruk kepada negara.

Dalam isu tanah tersebut, Perdana Menteri berpendapat bahawa hakim mungkin tertakluk kepada fakta kes sedia ada dan tanpa diambil kira suasana sekarang pula sudah berbeza.

Menyentuh perkara itu, Azalina menambah, sebahagian besar undang-undang lapuk itu digubal sebelum era kemerdekaan pada 1940-an yang ada langsung tidak lagi boleh dipakai.

Justeru ujarnya, pihak BHEUU akan menyenaraikan kesemua akta lama tersebut untuk dinilai Kabinet kerana ia merentasi pelbagai agensi, kerajaan pusat, negeri dan tempatan.

“Ada masih relevan tetapi pada saya, tanggungjawab reformasi undang-undang memang kena tengok situasi semasa dan ini perlu kepada kajian yang amat terperinci,” jelasnya.

Langkah berkenaan tegasnya, bukan sahaja dipikul Jabatan Peguam Negara, malahan badan kehakiman dan fakulti undang-undang di universiti tempatan juga wajar dilibatkan.

Ditanya tempoh semua undang-undang lapuk itu diselesaikan, Azalina berkata, perkara itu memakan masa kerana perlu dibawa kepada Parlimen untuk pindaan atau pemansuhan.

Beliau pada masa sama mengingatkan masyarakat bahawa jika undang-undang lapuk itu tidak diteliti balik, dibimbangi ada masih merujuknya tanpa mengikut suasana sekarang.

Sehubungan itu, dalam usaha mempercepatkan lagi proses tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan ada akta lama itu dinilai mengikut tema kepentingan atau en-bloc tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN