Lebih 20,000 meriahkan Ambang Merdeka di Ipoh - Utusan Malaysia

Lebih 20,000 meriahkan Ambang Merdeka di Ipoh

ORANG ramai yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Detik menjelang 67 tahun kemerdekaan Malaysia disambut penuh gilang gemilang oleh lebih 20,000 orang yang membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, di sini semalam.

Kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saraani Mohamad pada pukul 10.30 malam disambut meriah oleh pelbagai lapisan rakyat yang menanti detik-detik 12 malam bagi melaungkan ucapan keramat ‘Merdeka’.

Terdahulu, acara dimulakan dengan nyanyian lagu Kebesaran Negeri Perak diikuti persembahan pembukaan yang meliputi pelbagai bangsa dan deklamasi sajak bertajuk ‘Milik Siapakah Tanah Ini’.

Acara terus dimeriahkan lagi dengan nyanyian penyanyi terkenal, Marsha Milan dengan lagu Standing In The Eyes of The World sebelum Saarani dan barisan kepimpinan kerajaan negeri menyertai orang ramai mengira detik 12 malam dan melaungkan Merdeka  sebanyak tujuh kali.

Lagu kebangsaan Negaraku dan Jalur Gemilang kemudian dinyanyikan dengan penuh bersemangat sebelum malam penuh gemilang itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya mengajak semua lapisan masyarakat menjadikan detik kemerdekaan tahun ini sebagai titik mula dalam menggilap semula hubungan harmoni sesama kita.

Menurut beliau, jalinan persefahaman yang selama ini mengikat rakyat sebagai bangsa Malaysia yang bersatu padu perlu terus diperkukuhkan tanpa sebarang ganggu-gugat.

“Jangan kita mudah terbeli dengan hasutan kemarahan. Jangan kita mudah terpukau dengan sentimen politik yang memecah-belah.

“Hargailah keamanan dan keharmonian yang dimiliki. Jangan kita pertaruhkan kedua-duanya dengan permusuhan kerana percayalah, tidak berbaloi untuk kita mengorbankan keamanan, hanya kerana nafsu amarah. Jangan sia-siakan keharmonian yang telah dibina selama hampir tujuh dekad ini,” katanya.

Beliau berkata, tiada maknanya kemerdekaan jika jiwa rakyat masih terjajah dengan sikap negatif yang merosakkan, adu domba dan iri hati serta mementingkan diri.

Ujar beliau, rakyat kini tidak lagi berperang untuk mencapai kemerdekaan, tetapi sama ada sedar atau tidak, kita sedang mendiami dunia yang mudah melentur bibit-bibit persengketaan.

“Sejak beberapa tahun belakangan ini, kerukunan rakyat berbilang kaum semakin diuji dengan polemik perpecahan.

“Isu 3R (agama, kaum dan raja) sering dijadikan perdebatan sehingga rakyat mudah diselimuti dengan perasaan syak wasangka dan saling mencurigai.

“Media sosial yang sepatutnya mengakrabkan kita, lebih cenderung menjadi pentas perbalahan. Berhati-hatilah dengan apa yang kita baca dan kongsikan di sosial media. Jangan kita mudah termakan dengan seruan kebencian,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya