LBS pamer pertumbuhan stabil dalam suku kedua Q2FYE2024

LBS pamer pertumbuhan stabil dalam suku kedua Q2FYE2024

Sky Ria
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, hari ini mengumumkan keputusan suku kedua bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (Q2FYE2024).

Bagi Q2FYE2024, LBS mencatatkan hasil sebanyak RM431.9 juta, diperoleh daripada operasi yang berterusan, menandakan peningkatan 16.5 peratus daripada RM370.7 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan turut didorong dengan peningkatan 17.3 peratus tahun ke tahun dalam hasil segmen pembangunan hartanah, yang meningkat daripada RM358.1 juta kepada RM420.0 juta.

Dengan mengekalkan trajektori kewangan dan operasi pembangunan hartanah yang konsisten, LBS mencapai peningkatan 3.0 peratus dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI), kepada RM34.8 juta daripada RM33.8 juta pada Q2FYE2023.

Untuk 6 bulan kumulatif (1HFYE2024), PATMI diperoleh daripada operasi berterusan, dengan peningkatan 1.5 peratus kepada RM66 juta berikutan pendapatan dari operasi berterusan sebanyak RM770.1 juta.

Segmen pembangunan hartanah merupakan penyumbang hasil utama Kumpulan, iaitu sebanyak 97 peratus atau RM747.2 juta daripada jumlah hasil 1HFYE2024 yang sebahagian besarnya diperoleh daripada projek KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Prestige Residence dan Idaman.

Momentum positif pada suku semasa turut dipengaruhi kejayaan pelaksanaan projek-projek LBS yang dilancarkan.

Setakat ini, LBS telah melancarkan tujuh buah projek dengan gabungan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion, dengan jumlah jualan direkodkan sebanyak RM794.0 juta sehingga 21 Ogos 2024.

Projek Alam Perdana Central Hub, yang dilancarkan pada April 2024, meraih permintaan yang kukuh, dan telah menjana jualan sebanyak RM254.5 juta.

Permintaan ini sebahagian besarnya diperolehi daripada Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana yang mencari lokasi perindustrian yang strategik untuk menyokong operasi mereka.

Dengan bank tanah berjumlah 2,686 ekar dan jualan tidak dibil sebanyak RM1.7 bilion setakat 31 Julai 2024, Kumpulan optimis untuk mengekalkan prestasi kukuhnya pada masa hadapan.

Lim Hok San

Mengulas keputusan suku kedua, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dato’ Seri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, komitmen LBS terhadap pembangunan lestari telah mendapat sambutan positif daripada pihak berkepentingan dan pelanggan.

“Usaha yang selari dalam kecekapan operasi dan pengurusan kos memainkan peranan penting untuk mencapai hasil yang positif. Kumpulan menjangkakan pelupusan Lamdeal Investments Limited Group termasuk Zhuhai International Circuit akan dimuktamadkan menjelang Oktober.

“Transaksi melalui pemindahan ekuiti dan pembayaran hutang akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan LBS di mana hasil ini akan diperuntukkan untuk modal kerja, bayaran pinjaman, dan membiayai inisiatif pertumbuhan.

“Langkah strategik ini selaras dengan objektif kami untuk mengekalkan modal bagi pelaburan semula dalam projek-projek yang memberi pulangan tinggi, pembayaran hutang, atau inisiatif penambah nilai,” katanya.

Melangkah ke hadapan katanya, LBS tetap komited untuk mengekalkan trajektori positif ini.

“Keutamaan strategik kami termasuk meningkatkan saluran projek kami, meneroka peluang pasaran baharu, dan terus memberikan nilai yang cemerlang kepada pelanggan dan pemegang berkepentingan kami,” katanya.

Dengan pendekatan berhati-hati katanya, LBS kekal optimis bahawa dengan kepimpinan yang teguh dan pasukan yang berdedikasi, mereka berupaya meneruskan momentum ini pada suku tahun yang akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN