Lawak tak menjadi, peminat benci Yassin jadi anggota Senario

Lawak tak menjadi, peminat benci Yassin jadi anggota Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH 14 tahun berlalu ketika pelawak, Yassin Yahya, ditangkap polis kerana disahkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis ganja. Semasa penangkapan dilakukan, Yassin berada di sebuah pusat hiburan sebelum polis menjalankan ujian air kencing bersama 30 individu lain.

Peristiwa pada 2010 itu bukan sahaja mengejutkan peminat , malah menjadi titik hitam dalam kehidupannya. Namun, walaupun Yassin kini sudah bersih dari kegiatan tersebut dan bergelar usahawan, entah mengapa ada sahaja pihak yang cuba membangkitkan kehidupan lampau seseorang.

Yassin nampaknya tenang ketika ditanya adakah dia selesa melihat cerita lamanya diungkit kembali oleh beberapa pihak.

“Saya anggap sahaja mereka sudah terlepas jauh. Banyak lagi yang mereka tidak tahu. Dari dulu lagi, apa sahaja kritikan dan maki hamun, saya terima. Saya anggap sahaja ia sesuatu yang membina.

“Mungkin mereka tiada cerita lain untuk dibawa. Jadi mereka bangkitkan cerita lama. Tak mengapa, saya anggap sahaja ia juga kaedah pemasaran yang mungkin boleh membantu saya,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas ahli kumpulan Senario ini, sejak melangkahkan kaki ke dunia hiburan tahun 2000, sudah banyak kecaman sudah ditelan. Selalunya, pelakon Senario Lagi ini akan mengambil pendekatan berdiam diri kerana enggan isu yang timbul diperbesarkan.

“Sebagai anak seni saya tidak boleh menolak jika mereka mahu berkata apa-apa. Itu hak mereka. Tapi saya juga ada hak untuk bersuara. Jangan marah jika saya tidak layan mereka.

“Saya tidak baca apa yang orang tulis mengenai saya. Kalau saya baca, itu maksudnya saya tidak sengaja. Tapi saya tiada sedikit pun rasa tersentuh. Saya anggap sahaja ia perkara positif,” jelasnya.

Terima surat berdarah

Mungkin banyak pihak menyangka terlibat dengan najis dadah adalah momen paling melukakan dalam kehidupan Yassin. Namun bagi pelawak itu, tekanan dan cabaran paling besar diterimanya adalah ketika awal-awal memasuki Senario.

Walaupun ketika itu belum wujud media sosial, namun kebencian masyarakat dan hinaan kerana lawak yang disajikan tidak cukup mengena sudah diterimanya. Yassin belajar untuk kuat setiap kali penampilan lawaknya selalu dibandingkan dengan ahli yang lain.

“Mereka akan hantar surat ke alamat majikan ketika itu iaitu di Sri Pentas. Pengurusan keluarkan seguni surat dan asingkan bahagian masing-masing. Awal-awal saya rasa seronok terima surat.

“Namun lama kelamaan isi surat tersebut berbaur kebencian, siap ada beri surat berdarah. Mereka tidak suka lawak saya dan tidak berpuas hati saya menjadi ahli Senario.

“Saya berhenti baca surat. Begitu juga bila zaman sudah berubah dengan memperkenalkan e-mel. Saya berhenti baca e-mel dihantar dan fokus belajar menjadi seorang pelawak.

“Seperti kata saya tadi, hinaan sudah lali saya terima. Hanya yang kenalan terdekat tahu siapa Yassin sebenarnya,” katanya.

Terkini, menerusi syarikatnya, Yasstar Empire, Yassin bakal menganjurkan Showcase Senariounion di Panggung Bangsawan, 31 Ogos ini.

Persembahan berkonsepkan muzikal komedi itu akan menggabungkan ahli-ahli Senario yang lama dan baharu iaitu Wahid, Lan Pet Pet, Yassin, Azlee, Illya dan Saiful Apek.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN