LANGKAWI: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat awal pagi ini susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Antara kawasan terlibat adalah di Mukim Padang Matsirat, Bohor dan Kuah melibatkan Kampung Limbong; Kampung Atas, Kampung Lubuk Setul; Kampung Batu Ara dan Kampung Kerman di Sungai Menghulu.
Di Kampung Limbong, 10 buah rumah dimasuki air melibatkan 40 mangsa, selain Pasar Awam Padang Matsirat yang terletak di tepi Sungai Melaka turut tenggelam sehingga paras pinggang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md. Yasin berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dengan trend air yang semakin surut.
“Hujan lebat berterusan sejak pukul 12 tengah malam tadi sehingga pukul 7 pagi ini. Ekoran itu beberapa lokasi dinaiki air disebabkan limpahan air Sungai Melaka.
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam banjir ini,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, bomba membantu memindahkan seorang lelaki berusia 50-an apabila rumah pam di Padang Matsirat turut dinaiki air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Matsirat, Pegawai Bomba Tinggi II Mohammad Zaidi Md. Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 6.35 pagi tadi.
“Ketua operasi mendapati berlaku limpahan Sungai Melaka berikutan hujan lebat. Paras air naik hampir 0.6 meter dan menjejaskan laluan masuk ke kampung. Seorang mangsa lelaki dipindahkan ke tempat selamat,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN