Langkah tidak popular kerajaan kukuhkan ringgit, ekonomi domestik - PM

Langkah tidak popular kerajaan kukuhkan ringgit, ekonomi domestik – PM

ANWAR Ibrahim ketika hadir Majlis Perhimpunan Bulanan MOF, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertumbuhan ekonomi domestik dan tindakan mereformasi ekonomi negara dengan peningkatan kemasukan pelaburan menjadi faktor utama pengukuhan ringgit berbanding 14 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  faktor-faktor itu mempunyai ‘saham’ sehingga negara menyaksikan satu peningkatan lebih meyakinkan walaupun keadaan geopolitik dunia berada pada tahap kurang positif sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, ini termasuk keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi telah membantu meningkatkan keyakinan pelabur ke negara ini walaupun ia satu langkah tidak popular.

“Ini satu hal tidak mudah, tetapi kita lakukan kerana kita rasa ini menunjukkan satu sikap lebih bertanggungjawab.

“Kita berdepan dengan semua ahli Parlimen untuk menilai prestasi sebenar angka dan unjuran sebenar sama ada dari segi lebihannya, defisitnya kita unjurkan, adakah kita dapat pertahankan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketegasan dasar penyasaran subsidi diesel antara sebab peningkatan keyakinan pelabur bukan hanya mampu menyelamatkan wang negara sehingga RM4 bilion, malah sebagai tindakan menghentikan ketirisan dan penyeludupan.

“Penyasaran subsidi yang menyebabkan saya terutamanya dimaki berbakul-bakul, walaupun semua Perdana Menteri sebelum ini dan hampir semua parti dalam kerajaan setuju harus hentikan kebocoran.

“Saya tak faham kenapa orang politik pertahankan penyeludupan, kenapa izinkan ketirisan berbilion ringgit? Tetapi untuk menolak prinsip penyasaran subsidi, itu tentunya kurang bijak, kurang waras,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan masih boleh mempertimbangkan untuk memberikan ruang  kepada mana-mana kumpulan yang terkesan untuk memohon subsidi seperti kalangan peniaga kecil, nelayan atau pun pekebun kecil.

“Mereka yang bising ini tak terkesan kerana ini hanya senjata politik untuk menikam. Namun dari segi keseluruhannya bersyukur kerana dasar ini menyebabkan keyakinan dari segi pelabur.

“Maknanya kalau nak melabur, saudara tahu dasar itu bertanggungjawab dan tidak ada ketirisan, dan bila ada Akta Tanggungjawab Fiskal, penyasaran subsidi, ayam, tarif elektrik menyebabkan orang tahu ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, bersedia mengambil tindakan tidak popular untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya