Laksana pusingan kerja elak salah laku pegawai kerajaan

Laksana pusingan kerja elak salah laku pegawai kerajaan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan ketua-ketua jabatan kerajaan melaksanakan pusingan kerja secara berterusan bagi mengelak kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.

Perdana Menteri berkata, menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk memperkukuh integriti dan tatakelola perkhidmatan awam.

“Saya mahu tegaskan, ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib dan seterusnya menjejaskan peluang kenaikan pangkat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX), Perkhidmatan Awam Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini. 

Dalam pada itu, kata Anwar, kerajaan akan melihat keperluan memastikan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti doktor dan polis perlu disesuaikan dengan beban tugas hakiki, bukan lagi tugasan bersifat pentadbiran. 

“Ini kerana berlaku pembaziran, kepakaran, kekurangan tenaga kerja di tempat yang kita sepatutnya perkasakan yang memerlukan penambahan sumber. 

“Saya mahu perkara ini diteliti sewajarnya oleh kementerian berkaitan dan melaksanakan penjajaran semula sumber ke tempat yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji kebolehlaksanaan dasar kompetensi perjawatan bagi memastikan kenaikan pangkat dan penempatan pegawai berpadanan dengan kompetensi perjawatan. 

“Piagam pelanggan yang merupakan panduan kepada penyampaian perkhidmatan harus sejajar dengan perubahan semasa dan lebih praktikal. 

“Oleh itu, peraturan dan pekeliling kerajaan melibatkan urusan dengan awam perlu disemak semula bagi mengelak kerenah birokrasi yang menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN