Kursus dakwah harmoni khusus guru dakwah terpilih, bukan ancaman akidah - Mohd. Na'im

Kursus dakwah harmoni khusus guru dakwah terpilih, bukan ancaman akidah – Mohd. Na’im

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kursus Dakwah Harmoni anjuran Global Unity Network Unity (UNITY) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang didakwa mengancam akidah anak bangsa adalah satu bentuk tohmahan yang tidak bersandarkan fakta sebenar,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menegaskan, dakwaan sedemikian hanya bertujuan memburukkan imej dan komitmen kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam dan pembangunan ummah di negara ini.

Menurut beliau, kursus tersebut ialah sebuah program tertutup dan khusus untuk guru-guru agama dakwah terpilih daripada JAIPk yang dianjurkan secara berkala dan sebahagian dari siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah.

“Ia bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru-guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman yang sebenar tentang ilmu berkaitan agama-agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda.

“Lawatan Harmoni Terbimbing telah dibimbing oleh Shah Kirit Kakulal Govindji yang mempunyai kepakaran dalam perbandingan agama, dijalankan di pusat ibadah bukan Islam iaitu salah satu aktiviti pendidikan terkawal bagi mencapai objektif kursus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Na’im berkata, sepanjang Lawatan Harmoni Terbimbing tersebut, tiada penglibatan dalam amalan upacara keagamaan dan bukan program terbuka kepada umum kecuali untuk para peserta yang terlatih dalam bidang dakwah dan perbandingan agama.

Pada masa sama, lawatan itu juga memberi ruang dan peluang kepada guru agama dakwah berdialog dan menyampaikan mesej agama Islam yang sebenar serta sejagat demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian tamadun insan.

“Malah, penganjuran kursus tersebut menerusi pendekatan dialog antara tamadun bukan inisiatif baharu, tetapi dilaksanakan dengan jayanya sejak lima tahun lalu.

“Justeru, saya ingin menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dan menolak tohmahan yang dilemparkan pihak-pihak tertentu yang berniat jahat bertujuan memecah belahkan keharmonian dan usaha perpaduan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Jelasnya, negara ini memerlukan lebih ramai guru agama dakwah yang berilmu dan berkepakan tinggi dalam bidang ilmu agama dan perbandingannya demi memelihara jati diri akidah dan sahsiah terutama dalam kalangan generasi muda dan masyarakat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN