PUTRAJAYA: Penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 42.7 peratus.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diumumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bermula minggu hadapan, setiap penjawat awam akan mendapat gambaran secara umum peningkatan gaji masing-masing yang dijangka 15 hingga 42.7 peratus.
Beliau berkata, peningkatan ini (kadar gaji baharu) bagi kumpulan pelaksana adalah paling tinggi manakala, bagi kumpulan penjawat awam seperti Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah pula adalah lebih sederhana.
“Untuk perincian terutama dari aspek jumlah yang perlu di peruntukkan bagi kenaikan gaji bagi penjawat awam, perinciannya dapat kita teliti dalam dokumen Belanjawan 2025 nanti.
“Namun, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini diingatkan ada beberapa aspek yang melibatkan implikasi kewangan. Perkara itu bukan hanya perlu dibawa ke Jemaah Menteri tapi juga dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober nanti di Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, SSPA ini adalah usaha Kerajaan Madani untuk memastikan penjawat awam menikmati kenaikan pendapatan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) juga mengumumkan pendaftaran bagi syarikat yang ingin turut serta dalam program Dasar Gaji Progresif.
Katanya, sekiranya ada syarikat swasta yang belum dan ingin mendaftar program itu boleh berhubung dengan Kesuma.
“Jadi kita lihat usaha Kerajaan Madani bukan sahaja berusaha meningkatkan gaji penjawat awam tapi juga membantu sektor swasta meningkatkan pendapatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini. – UTUSAN