KPM susun semula kandungan 4 mata pelajaran Tahap 1

KPM susun semula kandungan 4 mata pelajaran Tahap 1, antara langkah intervensi kurikulum

MENERUSI pembudayaan ilmu melalui kerjasama pelbagai pihak dapat menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan murid di Malaysia. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan empat inisiatif intervensi kurikulum iaitu salah satu daripada hala tuju Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, ia bertujuan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikannya relevan dengan keperluan murid sebagaimana diumumkan pada Mac lalu.

Menurutnya, empat inisiatif itu ialah Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 yang melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahap I sedia ada.

“Inisiatif kedua ialah pengesanan awal literasi dan numerasi bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta memerlukan intervensi awal bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.

“(Ketiga ialah) Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa bertujuan untuk memudahkan laporan tahap penguasaan PBD,” katanya hari ini.

KPM berkata, pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik bagi semua mata pelajaran juga ditukar dalam bentuk peratus dan gred dan boleh diakses secara dalam talian.

Katanya, inisiatif keempat pula ialah Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah menerusi penganjuran webinar.

Jelasnya, laporan terkini kemajuan intervensi kurikulum akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan masyarakat adalah diperlukan bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.

“KPM prihatin terhadap kegusaran masyarakat mengenai isu kurikulum berat seperti yang dilaporkan di laman media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN