Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Kuala Terengganu Berhad (Koperasi Stamad) di sini, diiktirafkan sebagai koperasi sekolah pertama di Terengganu mencapai perolehan melebihi RM1 juta.
Pengiktirafan perolehan RM1 Juta Koperasi Stamad disempurnakan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Pengetua SMK Sultan Ahmad, Md. Almeida Mohd. berkata, Koperasi Stamad yang mula didaftarkan pada 1 Julai 1982 kini mempunyai 1,394 ahli serta dikendalikan 67 anggota melibatkan 50 orang pegawai koperasi sekolah dan 17 ahli lembaga pengarah.
Menurutnya, perolehan lebih RM1 juta itu diperoleh daripada beberapa perniagaan termasuk kedai koperasi dengan keuntungan bersih hasil jualan sebanyak RM49,992.71 dari Januari hingga Ogos tahun lepas.
Menurutnya, perniagaan kios kedai runcit dan kafe pula mencatatkan keuntungan bersih RM16,074.76, mesin fotostat (RM9,300) dan gegantung (banner) (RM1,144.50) dalam tempoh yang sama.
Katanya, koperasi tersebut turut mengusahakan jualan pokok bunga, jualan biskut, kerepek raya, makanan sejuk beku, dan mini bazar Ramadan. – UTUSAN