Komitmen pelaburan 6 syarikat GLIC RM120 bilion

Komitmen pelaburan 6 syarikat GLIC RM120 bilion program GEAR-uP

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi komitmen secara kolektif untuk dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia adalah sampingan pelaburan-pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.

Komitmen itu ada fasa pertama di bawah program dikenali sebagai GEAR-uP yang disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.

Enam GLIC itu ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di samping sasaran pelaburan dalam HGHV, ia juga merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula (start-ups), modal teroka (venture capital) serta syarikat peringkat pertengahan, seterusnya menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.

Menurut beliau, pelaburan-pelaburan ini menjadi teras utama bagi program GEAR-uP dengan tujuan memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi baharu dan meningkatkan penyertaan GLIC dalam ikhtiar pembangunan negara.

“GLIC ini akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu ‘Menaikkan Siling’ kedudukan ekonomi negara dan ‘Menaikkan Lantai’ kualiti hidup rakyat.

“Bagi mencapai sasaran-sasaran kerangka Ekonomi Madani, terdapat keperluan menggerakkan semua pihak di seluruh negara termasuk pihak korporat.

“Melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem-ekosistem ekonomi baharu,” katanya selepas taklimat berkenaan program GEAR-uP itu di Kementerian Kewangan (MOF), di sini semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat.

Jelasnya, setiap GLIC akan mempunyai bidang tumpuan masing-masing untuk menerajui program GEAR-uP itu.

Menurut MOF, Khazanah akan mengorak strategi pelaburan berpaksikan ‘Negara yang Mencipta’ bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing negara.

Katanya, bidang tumpuan utama termasuk transformasi firma untuk memperkasakan nilai, peralihan tenaga, pendigitalan, pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran serta menerajui usaha untuk meningkatkan ketersambungan Malaysia melalui portfolio penerbangannya.

“Khazanah akan memastikan daya tahan ekosistem sektor semikonduktor, memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat peringkat pertengahan dan melabur di ekosistem-ekosistem modal teroka.

“Pengambilalihan MAVCAP dan Penjana Kapital baru-baru ini antara langkah untuk membentuk National Fund of Funds yang bakal memperluaskan akses modal bagi syarikat pemula, memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi,” katanya.

Bagi KWAP pula, ia berperanan memperkasakan pasaran swasta Malaysia merentasi ekuiti swasta, prasarana dan hartanah, dengan tumpuan kepada pemberian dana pemangkin untuk modal teroka serta firma-firma peringkat pertumbuhan melalui Dana Perintis dan Dana Pemacu.

KWAP juga telah mengenal pasti lapan sektor antaranya keterjaminan makanan, ekonomi digital, peralihan tenaga dan sektor pembuatan canggih.

Pada masa sama, PNB akan memodenkan industri-industri dan sektor korporat Malaysia dengan menggalakkan tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bernilai tambah tinggi serta mampan, dengan tumpuan khusus kepada pelaburan dalam taman-taman perindustrian baharu.

Ini termasuk menyokong usaha automasi dan pertanian pintar dalam kelapa sawit serta aset-aset tenaga hijau dan peralihan tenaga.

“PNB kekal komited untuk memperkasakan serta menjulang komuniti bumiputera, termasuk mengendali pelbagai program bagi memupuk usahawan-usahawan dan pemimpin-pemimpin korporat bumiputera; memperhebatkan keselamatan kewangan serta kecelikan kewangan di kalangan anak muda,” katanya.

Pelaburan KWSP akan menumpukan kepada pemesatan masyarakat menua yang bermaruah serta makmur, dengan melibatkan pelaburan dalam penyelesaian kesihatan mampan yang berdaya maju dari segi komersial menerusi kerjasama dengan kerajaan,

Ini termasuk membina sayap swasta di hospital awam sejajar dengan agenda Transformasi Kesihatan yang didukung oleh Kementerian Kesihatan.

“Selari dengan mandatnya, KWSP akan kekal berusaha meningkatkan perlindungan sosial dan reformasi pencen dengan penekanan kepada keselamatan pendapatan menua bagi semua rakyat Malaysia.

“Lembaga Tabung Haji pula akan memperluaskan peranan bank Islam termasuklah melalui memperkasakan impak sosial lestari melalui instrumen kewangan Islam bagi pengagihan bantuan secara lebih teratur kepada golongan miskin dan menguatkan sistem kewangan Islam melalui kerjasama strategik dengan lain-lain institusi serta pemain industri kewangan Islam utama,” katanya.

MOF berkata, pelaburan LTAT tertumpu peningkatan daya cipta nilai industri farmaseutikal Malaysia dengan memperluaskan kapasitinya dalam penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan.

LTAT juga kekal komited untuk menjamin kesejahteraan sosial Angkatan Tentera Malaysia dengan menyokong peralihan ekosistem veteran kepada transisi karier kedua.

Menurut MOF, melangkaui pelaburan modal, GLIC dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerajui usaha untuk memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerja-pekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing.

Ini termasuk dalam syarikat syarikat pelaburan mereka merangkumi komitmen untuk memastikan pekerja-pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,1001, serta menyelaraskan penanda aras gaji pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh KWSP.

“GLIC ini juga bertekad untuk mengekalkan usaha sedia ada dalam memastikan peluang saksama melalui perwakilan gender di tempat kerja; program-program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula secara bersasar dan peningkatan kemahiran terutamanya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu ialah sokongan komuniti secara holistik melalui inisiatif-inisiatif kebertanggungjawaban korporat yang lebih bersepadu serta secara lebih teratur, seperti kerjasama dengan kerajaan dalam program Kampung Angkat Madano untuk menjayakan intervensi sosioekonomi bagi melengkapkan sokongan Kerajaan dalam pembekalan prasarana asas.

Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) juga akan diperkasakan sebagai dana khazanah antara generasi Malaysia dengan sumber-sumber sumbangan baharu, garis panduan penggunaan yang disemak semula, serta mandat pelaburan yang diperkuatkan untuk memastikan kemampanan dan pemeliharaan kekayaan bagi generasi rakyat mendatang.

“Saiz dana semasa KWAN yang ditadbir urus oleh Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, adalah berjumlah kira-kira RM20 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN