Komik DAP: Jemaah Menteri belum bincang langkah seterusnya - Fahmi

Komik DAP: Jemaah Menteri belum bincang langkah seterusnya – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kabinet belum lagi berbincang untuk menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau Superman Hew.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, perkara itu belum dibincangkan dan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Kita belum bincang lagi perkara ini dalam Jemaah Menteri, jadi saya tak boleh tambah (ulas lanjut) sebab belum dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sumbangan Penajaan Oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik itu.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan bagaimanapun menghormati keputusan yang dibuat mahkamah berkaitan komik berkenaan.

“Itu adalah berdasarkan keputusan mahkamah. Kita hormat keputusan mahkamah tapi waktu ini belum lagi dibincangkan dalam Jemaah Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO mendesak kerajaan mempertimbang langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik tulisan bekas ahli DAP itu.

Ketuanya, Dr Akmal Salleh dilaporkan berkata, semakan semula keputusan terbabit adalah selaras kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2022 memutuskan bahawa komik terbabit tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Malah, permohonan kerajaan ketika itu untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan bagi mengembalikan larangan terhadap penerbitan komik berkenaan gagal pada 8 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN