Dalam kesibukan ibu bapa dan penjaga seluruh negara menghantar anak-anak mendaftar ke institusi pengajian tinggi minggu ini, kolej komuniti seperti Kolej Komuniti Sabak Bernam turut membuat persiapan yang sama bagi tujuan memenuhi keperluan pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), suami isteri yang merupakan arkitek di sektor awam mengambil peluang untuk menghantar anak mereka, Muhammad Alif Iskandar, 20, ke KKSB untuk menyambung pengajian dalam Diploma Teknologi Senibina.
“Saya melihat peluang anak melanjutkan pelajaran di KKSB sebagai satu peluang yang sangat baik dan melihat teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) pada masa akan datang adalah satu peluang yang sangat cerah untuk diterokai,” kata Intan Norshahrah, ibu kepada Muhammad Alif Iskandar.
Muhammad Alif Iskandar yang sebelum ini merupakan pelajar lepasan Sijil Teknologi Senibina di Kolej Komuniti Jempol ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat diploma.
Tawaran itu sangat dihargai kerana pada pandangannya keperluan teknologi (BIM) dalam silibus pendidikan sekarang amat diperlukan dan mendapat permintaan yang tinggi dalam industri.
Menurut Ketua Program Diploma Teknologi Senibina KKSB. Muhamad Bukhari Othman, kolej berkenaan merupakan institusi rintis di bawah KPT yang menerapkan pendidikan dan teknologi BIM dalam silibus mereka.
“Kita sentiasa bekerjasama dan bekerja rapat dengan industri seperti Gamuda Engineering Sdn. Bhd. dan kurikulum kita sentiasa relevan dengan kehendak industri.
“Maka kebolehpasaran graduan KKSB juga adalah 100 peratus, “ ujarnya.
“Program tersebut menerima tajaan biasiswa daripada Gamuda sebanyak RM329,000 baru-baru ini,” ujarnya. – UTUSAN