PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur eksklusiviti, pakatan harga, anti-persaingan atau apa-apa amalan yang menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan.
Tegas kementerian itu, pihaknya memandang serius amalan sesetengah syarikat pengeluar dan pembekal farmaseutikal yang menawarkan harga produk lebih tinggi kepada kerajaan.
Katanya, ini berbanding harga kepada pihak swasta bagi sesetengah produk ubat terutamanya pemegang pendaftaran tunggal sama ada paten ataupun generik yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“KKM mengorak langkah meneliti dan mengkaji semula dasar dan proses perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan yang menekankan kepada sistem tatakelola.
“Ini dengan mengambil kira prinsip ketelusan, memudah cara perniagaan, persaingan secara adil dan nilai pulangan terbaik dalam perolehan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM berkata, penambahbaikan secara berfasa sedang dilaksanakan ke atas dasar dan proses perolehan KKM dengan fasa pertama ialah pengurangan kerenah birokrasi permohonan kelulusan daripada agensi-agensi KKM.
Fasa kedua pula melibatkan penambahbaikan proses perolehan termasuk hak kerajaan untuk berunding semula harga dan pembekalan produk alternatif yang lebih murah berbanding produk kontrak dalam keadaan tertentu dengan syarikat memenangi tender.
Ia termasuklah penggiliran pegawai termasuk pegawai teknikal yang terlibat dalam proses perolehan serta kehadiran pegawai Unit Integriti sebagai pemerhati dalam Lembaga Perolehan.
“KKM menyambut baik dan menyokong aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan fokus kerajaan bagi Bajet 2025 adalah untuk menangani dan mengurangkan kos sara hidup rakyat yang disebabkan antara lain masalah ketirisan, rasuah, kartel dan monopoli,” jelasnya.
Tambah KKM, kementerian itu bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik
pada kos berpatutan kepada rakyat.
“Ini hanya dapat dicapai sekiranya harga perolehan produk farmaseutikal dan peralatan perubatan adalah munasabah.
“Peruntukan perbelanjaan produk farmaseutikal oleh KKM adalah dalam lingkungan RM5 hingga RM6 bilion setahun,” katanya. – UTUSAN