KKM nafi doktor penyamar sempat beri ubat, lakukan prosedur rawatan

KKM nafi doktor penyamar sempat beri ubat, lakukan prosedur rawatan

REMAJA perempuan yang disyaki menyamar sebagai doktor ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan ‘doktor segera’ yang menyamar di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sempat melakuan prosedur rawatan termasuk memberikan preskripsi ubat kepada pesakit.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan, namun pihaknya tidak menerima laporan seumpama itu.

Menurut beliau, penyamar doktor berusia 14 tahun itu sememangnya didapati sering berlegar di hospital itu, tetapi tidak melakukan sebarang prosedur perubatan.

“Cuma dia sendiri yang sebenarnya cuba mendapatkan rawatan di hospital itu. Walaupun demikian, dia sempat melarikan diri.

“Penyamarannya terbongkar apabila petugas-petugas kesihatan di sana mengesyaki ada seusatu tidak kena (dengan remaja itu),” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat media berkaitan kesihatan mental dan Program MySAVE serta Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendakwa, remaja perempuan itu bertindak licik apabila berjaya menyamar sebagai doktor selama kira-kira dua bulan tanpa disedari petugas lain.

Lebih hebat, apabila remaja yang berbadan kurus terbabit mempunyai pas kerja dan mampu mengakses komputer selain turut membuat rondaan di wad-wad hospital berkenaan, persis seorang doktor sebenar.

Menurut sumber, sepanjang dua bulan berada di hospital tersebut, remaja terbabit pandai berlakon sebagai pegawai perubatan pediatrik dengan merawat para pesakit serta memberi ubat-ubatan.

Lukanisman berkata, fizikal bangunan hospital itu yang besar dan kompleks menyukarkan petugas untuk mengecam setiap orang apatah lagi dengan jumlah kakitangan yang banyak.

Bagaimanapun, penyamar itu berjaya dikenal pasti oleh bahagian unit berkenaan selepas dia hadir dan mendakwa sebagai pegawai perubatan.

“Terdapat rasa keraguan kepada penyamar itu kerana fizikal dia agak terlalu muda. Tetapi (dakwaan dia pernah beri preskripsi ubat dan melakukan pemasangan IV branula) tidak berlaku.

“Sudah pasti perkara tersebut bukan mudah untuk dilakukan oleh penyamar kerana dia tidak mempunyai sebarang kemahiran. Dia hanya menyamar dan membahasakan dirinya sebagai seorang pegawai perubatan apabila cuba mendapatkan rawatan di wad kecemasan,” katanya.

Pada masa sama, Lukanisman berkata, langkah penambahbaikan prosedur keselamatan di hospital terbabit sedang dilakukan termasuk menambah baik penggunaan pas pekerja.

“Pengarah Hospital Serdang akan memikirkan kaedah-kaedah yang terbaik kerana pusat kesihatan dan hospital-hospital besar sememangnya biasa menerima pelatih-pelatih dan jumlah kakitangan adalah ribuan di dalam fasiliti tersebut.

“Sudah pasti kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelak perkara ini berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN