SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama melaksanakan Projek MyGenom bagi mewujudkan data penjujukan genom rakyat di negara ini sebagai rujukan rawatan kesihatan yang lebih tepat.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kepentingan projek tersebut kepada rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya untuk bagi memberi gambaran lebih jelas terhadap perkara seperti menetapkan garis asas variasi genetik, meningkatkan perubatan tersuai dan memberi panduan kepada strategi kesihatan awam.
“Kebanyakan kajian sedia ada mengenai genomik manusia adalah terhadap populasi Eropah, Amerika atau Asia Timur.
“Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan warisan, Malaysia memiliki potensi yang unik dalam kajian populasi genomik dan sehingga kini kepelbagaian etnik ini kurang diwakili dalam mana-mana pangkalan data genomik yang ada,” katanya dalam ucapan perasmian Pelancaran Projek MyGenom, hari ini
Justeru, Lih Kang memberitahu pada peringkat awal atau fasa pertama, beliau bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyasarkan pengumpulan sebanyak 3,500 sampel genom diambil di 10 lokasi pusat darah di seluruh negara.
“3,500 sampel, kemudian analisis akan dibuat dan jangka dari situ akan dapat 2,500 sampel genom normal yang sihat. Selebih pastinya ada penyakit-penyakit kronik dan sebagainya, kita menganggarkan daripada 3,500 sampel itu akan dapat mencapai 2,500 sampel normal,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sebanyak 10,000 sampel genom sihat dan normal akan dikumpulkan pada akhir projek dan akan memasukkan projek tersebut sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun hadapan.
Dalam pada itu, Lih Kang memaklumkan pelaksanaan projek tersebut adalah selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0, Program Perdana 4 yang menggariskan penggunaan biologik, teknologi omik dan terapi bersasar.
Jelasnya, penggunaan kaedah-kedah tersebut bertujuan menambah baik kesihatan melalui perubatan jitu dan tersuai atau precision and personalised medicine, terapi gen dan sel.
“Justeru, MOSTI bersama-sama KKM melaksanakan Projek MyGenom sebagai salah satu langkah penting ke arah precision medicine. Projek ini juga selari dengan misi KKM dalam Kertas Putih Kesihatan yang mensasarkan pembentukan masyarakat Malaysia yang sihat,” katanya.
Katanya lagi, penjujukan genom merupakan proses menentukan susunan tepat seperti yang disifatkan seperti ‘buku panduan’ genetik yang menerangkan pelbagai perkara dalam tubuh badan manusia.
“Dengan memahami susunan ini, kita dapat mengakses maklumat yang mendalam mengenai cara gen kita berfungsi dan bagaimana ia boleh mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan kita,” ujarnya. – UTUSAN