KKM jamin bekalan insulin boleh bertahan hingga akhir tahun

KKM jamin bekalan insulin boleh bertahan hingga akhir tahun

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa bekalan insulin manusia di fasiliti kesihatan awam boleh bertahan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, usaha untuk mendapatkan bekalan dari pembekal lain juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan rawatan pesakit tidak terjejas.

“Ia bukan senario yang membimbangkan seperti (dilaporkan) media, (bekalan insulin manusia) boleh bertahan sehingga akhir tahun, sementara itu kami akan terus mendapatkan pembekal lain.

“Ada baiknya mereka membangkitkan (isu) ini, kerana kita sudah pun melihatnya, kita sentiasa memantau cuma tak dapat pembekal lain,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefaham (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung isu bekalan insulin manusia di fasiliti KKM yang dilaporkan terjejas baru-baru ini disebabkan masalah pengeluaran di fasiliti pembekal tempatan.

KKM menerusi kenyataan pada 22 Ogos lalu memaklumkan, bagi memastikan rawatan pesakit dapat diteruskan tanpa gangguan, kementerian itu telah mengambil beberapa pendekatan termasuk meningkatkan penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor yang merawat pesakit.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, beliau tidak mahu isu bekalan insulin manusia tersebut menjejaskan atau memberi kesan terhadap rawatan pesakit.

Katanya, setakat ini beliau masih belum menerima atau mendengar sebarang laporan berkenaan mana-mana pesakit tidak menerima preskripsi insulin mereka.

“(Ketika ini) kita sedang mencari pembekal alternatif dan kita sudah berkomunikasi, malangnya perkara ini berlaku, kita telah mengambil masa untuk bercakap dengan pembekal.

“Tetapi saya tidak mahu percaya bahawa kita akan berada di dalam krisis, kerana kita mempunyai alternatif untuk mendapatkan pembekal lain secepat mungkin,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga akan memberi keutamaan dalam proses penilaian terhadap pengeluar tempatan serta pembekal dari luar negara yang berminat untuk mendaftarkan produk insulin mereka.

“Kita (akan) beri 60 hari, bukan enam bulan (untuk mendaftarkan produk mereka),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN