KIGIP bukti kemampuan syarikat bumiputera - Anwar - Utusan Malaysia

KIGIP bukti kemampuan syarikat bumiputera – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) merasmikan majlis pecah tanah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini sebagai satu kebanggaan bumiputera dalam mengendalikan projek industri berteknologi tinggi.

Perdana Menteri berkata, dikendalikan oleh sebuah badan bumiputera, Permodalan Nasional Berhad (PNB), KIGIP merupakan sesuatu yang baru di rantau ini dan satu-satunya berteknologi tinggi (high tech) hijau yang ulung di Asia Tenggara.

Kata Anwar, tanggungjawab kepada PNB dan syarikatnya, SD Guthrie untuk mengendalikan projek itu juga adalah satu bentuk dasar bumiputera yang sebenar, berbanding sekadar hanya laungan ‘Melayu, Melayu’ tetapi akhirnya mengetepikan Melayu.

“Kita mahu projek ini dijalankan sebagai satu contoh di mana syarikat utama bumiputera boleh kendalikan dengan sebaiknya, dan tentunya juga melibatkan penyertaan bukan bumiputera.

“Tetapi ini satu-satunya projek raksaksa high tech, green (hijau) yang dikendali oleh syarikat di bawah payung PNB dan ini bagi saya suatu perubahan dan peralihan yang sangat bermakna bagi kepentingan masyarakat bumiputera dan bagi negara Malaysia,” katanya semasa memberi ucaptama majlis pecah tanah KIGIP di sini hari ini.

KIGIP terletak di utara Perak adalah projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama dengan pembangunan meliputi beberapa fasa termasuk pembinaan kapasiti pembekalan air dan lebuh raya.

Perdana Menteri melihat KIGIP sebagai projek industri antara terbesar di Malaysia yang dikendalikan oleh syarikat bumiputera, menjadi landasan memajukan sebuah kawasan terpencil dan kurang membangun.

Beliau mahu projek itu dikendalikan tanpa menyisihkan penduduk setempat daripada menyertai aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang tercipta.

Anwar mahu PNB dan SD Guthrie terlibat membangunkan bakat tempatan termasuk dengan pemberian latihan supaya mereka dapat menyertai aktiviti ekonomi yang dibangunkan.

“Mulai hari ini SD Guthrie harus memikirkan pelabur, jenis pelaburan, jenis pekerjaan, latihan pengkhususan dan beri keutamaan kepada anak-anak utara Perak ataupun Bagan Serai dan Nibong Tebal sedikit untuk mendapat latihan.

“Dan kalau ada institut teknologi yang berdekatan, saya akan minta supaya SD Guthrie mengambil alih institut ini dan memberikan latihan yang diperlukan oleh KIGIP,” katanya.

Perdana Menteri mahu juga pelajar-pelajar kelulusan sastera atau bukan sains untuk turut sama diberikan latihan pengkhususan agar mengikuti sebahagian daripada kursus yang disediakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN