Keselamatan negara dijamin berada pada tahap tertinggi

Keselamatan negara dijamin berada pada tahap tertinggi – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL pada sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan aspek keselamatan negara berada pada tahap tertinggi biarpun negara akhir-akhir ini digemparkan dengan pelbagai siri jenayah kekerasan dan kes berprofil tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga mengulangi bahawa tahap kompetensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, ia dibuktikan PDRM menerusi proses intipan sehingga berakhir dengan tindakan khususnya membabitkan kes jenayah berprofil tinggi seperti kes culik warga asing dan kes bunuh.

“Sebagai contoh membabitkan kes culik warga China, kes culik kanak-kanak dari Johor, kes bunuh bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kes bunuh Cikgu Istiqomah serta jenayah membabitkan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa keselamatan orang awam sentiasa terjamin terutama dalam sebarang operasi berskala besar digerakkan PDRM.

“Saya dimaklumkan, ada yang membangkitkan persoalan itu, termasuk sehingga menimbulkan kegerunan dan ketakutan awam.

“Saya ingin jelaskan, bila membabitkan operasi berskala besar, beri lah kepercayaan kepada polis yang telah dilatih khusus bab itu,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kes tembak membabitkan lelaki warga Afrika Selasa lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, rekod menunjukkan, suspek ditembak mati tidak pernah keluar dari Malaysia selepas masuk sekitar tahun 2017.

“Dia (suspek) tidak pernah keluar, mungkin dia keluar ikut jalan tikus, itu kita tidak tahu. Siasatan masih dijalankan dan 10 suspek lain masih diburu,” katanya.

Sebelum ini, polis menembak mati seorang lelaki warga Afrika dalam insiden berbalas tembakan di Jalan PJS 9/1, Subang Jaya, Selangor, kelmarin.

Suspek disyaki ahli kumpulan samun yang aktif sejak 2018 dengan mencatatkan nilai kerugian mencecah RM8 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN