Kes tembak KLIA: Mahkamah tetapkan 15 Oktober baki serahan dokumen

Kes tembak KLIA: Mahkamah tetapkan 15 Oktober baki serahan dokumen

HAFIZUL Hawari yang didakwa cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di KLIA tiba di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mahkamah Sesyen Sepang menetapkan 15 Oktober depan untuk penyerahan dokumen bagi kes seorang pengurus sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan sebahagian dokumen belum lengkap diserahkan kepada pasukan pembelaan.

“Saya dimaklumkan sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan. Namun, setakat ini yang diterima laporan forensik, manakala laporan-laporan lain masih lagi belum selesai.

“Justeru pihak pendakwaan memohon satu tarikh sekali lagi untuk melengkapkan kesemua dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh bicara ditetapkan,” katanya.

Ketika prosiding hari ini, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul Hawari, 38, mengesahkan bahawa sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pembelaan.

Prosiding hari ini adalah sebutan kali kedua kes di Mahkamah Sesyen di sini selepas didakwa pada April lalu.

Pada 25 April lalu, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hawari juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April lalu, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN