Kes tembak KLIA: 15 Oktober tarikh serah baki dokumen

Kes tembak KLIA: 15 Oktober tarikh serah baki dokumen

HAFIZUL Hawari semasa tiba di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 15 Oktober ini untuk penyerahan dokumen bagi kes seorang pe­ngurus sebuah syarikat agensi pelancongan yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memaklumkan sebahagian dokumen belum lengkap dise­rah­kan kepada pasukan pembe­laan.

“Saya dimaklumkan sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan. Namun, setakat ini yang diterima laporan forensik, manakala laporan-laporan lain masih lagi belum selesai.

“Justeru pihak pendakwaan memohon satu tarikh sekali lagi untuk melengkapkan kesemua dokumen untuk diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh bicara ditetapkan,” katanya.

Ketika prosiding semalam, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul Hawari, 38, mengesahkan bahawa sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pembelaan.

Prosiding semalam adalah sebutan kali kedua kes di Mahkamah Sesyen di sini selepas didakwa pada April lalu.

Pada 25 April lalu, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md. Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hawari juga didakwa de­ngan sengaja menyebabkan cede­ra parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN