KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah, 39, menerima permohonan maaf dibuat bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan, di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam prosiding hari ini Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin diwakili peguam, Datuk Akberdin Abd. Kadir manakala Wiwi diwakili Ammar Ghiq selaku defendan.
Wiwi membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah kepada Sarah selain mengakui kesal dengan segala tohmahan di lemparkan menerusi Instagram pada 24 Ogos 2023.
Bukan itu sahaja, Wiwi juga bersetuju untuk akur dengan syarat memuat naik permohonan maaf di laman sosial dalam tempoh tujuh hari di samping berjanji
tidak memuat naik, menyiarkan atau berkongsi maklumat mengenai antara satu sama lain di mana-mana platform.
“Pihak mereka sudah menghubungi kami selama beberapa bulan dan kami terima tawaran yang diberikan untuk menyelesaikan kes secara baik sebab dia sudah rasa insaf dan kesal.
“Pihak defenden juga bersetuju memuat naik pemohonan maaf serta menarik balik enam tuduhan m dikeluarkan. Apa yang penting dia sedar bahawa apa yang dikatakan itu tidak berlaku,” kata Akberdin kepada Utusan Malaysia.
Sebelum itu, bekas menantu kepada pelakon senior Kazar Saisi yang dikenali sebagai Wiwie Darvienda Mazweena, didakwa mengeluarkan kenyataan tidak wajar tentang Sarah di Instagam pada 24 Ogos 2023.
Dalam kenyataan tersebut, Wiwie dikatakan menjaja cerita tentang Sarah berhubung keputusan pelakon itu menarik saman terhadap Ira Kazar.
Susulan itu, Sarah menghantar satu penyata tuntutan saman fitnah termasuk injuksi terhadap Wiwie menerusi peguamnya, Datuk Akberdin Abd. Kadir pada 30 Ogos tahun lalu. – UTUSAN