Kes pengabaian kanak-kanak semakin membimbangkan - Nancy

Kes pengabaian kanak-kanak semakin membimbangkan – Nancy

NANCY Shukri (tengah) beramah mesra dengan sebahagian murid yang hadir pada Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak peringkat negeri Terengganu di SK Sultan Sulaiman 2, di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 3,957 kes dilaporkan di seluruh negara melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, Sabah merekodkan kes tertinggi iaitu 533 kes diikuti Johor (523), Kuala Lumpur (427) dan Selangor (355).

Menurutnya, data tersebut amat membimbangkan dengan trend kenaikan berbanding 3,767 kes yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.

“Memang kes pengabaian kanak-kanak semakin membimbangkan dan sebab itu kementerian turun ke sekolah-sekolah untuk beri pendedahan kepada kanak-kanak mengenai hak mereka.

“Kita tak boleh lagi hanya memberi advokasi kepada orang dewasa, sebaliknya kita pergi ke sekolah untuk berkongsi dengan kanak-kanak ini agar mereka yakin ada peluang untuk melindungi diri sendiri.

“Kalau berlaku (pengabaian dan jenayah terhadap kanak-kanak) di rumah sendiri, macam mana mereka perlu bertindak, ini yang sedang kita laksanakan untuk mengatasi kes seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peranan kementerian kepada keluarga mangsa insiden tersebut selepas merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak peringkat negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 2 di sini hari ini.

Tambahnya, kementerian menyasarkan 300 program advokasi di sekolah seluruh negara menjelang Disember tahun ini agar kanak-kanak diberi pendedahan yang sewajarnya.

“Program advokasi ini bukanlah sebarangan kerana  disertai penceramah-penceramah yang hebat dari Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia untuk meningkatkan kesedaran mengenai buli siber dan sentuhan selamat untuk anak-anak ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata,  KPWKM menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pegawai-pegawai di kementerian telah berjumpa dengan ahli keluarga mangsa yang terlibat untuk menawarkan bantuan khidmat kaunseling tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, keluarga mangsa menolak tawaran khidmat kaunseling tersebut dan memohon diberi ruang untuk bertenang selepas terkejut dengan kejadian itu.

“Kementerian nak beri kaunseling, namun keluarga mangsa tidak bersedia buat masa sekarang sebab mereka mahukan ketenangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya