Kes gaduh, rusuh di pusat hiburan: Lapan lagi suspek ditahan

Kes gaduh, rusuh di pusat hiburan: Lapan lagi suspek ditahan

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lapan lagi suspek ditahan berhubung insiden pergaduhan dan merusuh di sebuah pusat hiburan di Pudu, Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, jumlah tangkapan insiden itu kini seramai 12 orang.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu sedang direman bagi siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan perniagaan dan hutang. Kita masih berusaha melengkapkan siasatan.

“Sebab tempat (pusat hiburan) ini baru dibuka, mungkin mereka ada perselisihan mengenai tuntutan hutang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini.

Rusdi berkata, setakat ini, polis membuka dua kertas siasatan membabitkan senjata api dan senjata tajam.

“Untuk senjata api sebab ada orang mendengar bunyi tembakan, untuk senjata tajam pula sebab ada empat orang cedera dan mendapatkan rawatan di Hosiptal Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

“Masih ada suspek yang diburu, saya percaya ada lagi baki suspek, ia bergantung kepada siasatan yang dijalankan,” katanya.

Pada 11 Ogos lalu, empat lelaki ditahan disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan dan merusuh sehingga melepaskan tembakan di sebuah pusat hiburan di Pudu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Terdahulu, pada majlis itu, bekas Ketua Polis Daerah Port Dickson, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Putrajaya baharu menggantikan Senior Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.

A Asmadi akan bertukar ke jawatan SAC Modenisasi Pengurusan Organisasi, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN