Kes culik ahli perniagaan China: 4 suspek masih bebas, 4 ditembak mati, 10 ditahan

Kes culik ahli perniagaan China: 4 suspek masih bebas, 4 ditembak mati, 10 ditahan

HUSSEIN Omar Khan menunjukkan barangan rampasan kes culik seorang lelaki warga China di IPD Sepang, Selangor. - UTUSAN/ MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis masih memburu empat lagi suspek kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuharaya Maju, berhampiran Cyberjaya pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat yang diburu itu itu adalah sebahagian daripada 18 ahli kumpulan yang bertindak merancang dan menculik mangsa.

Beliau berkata, empat suspek warga tempatan yang diburu itu masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita, malah mereka dipercayai masih berada dalam negara.

“Secara keseluruhan, 18 suspek terbabit dalam penculikan ini di mana empat daripadanya telah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan semasa operasi di Skudai, Johor pada tengah malam 1 Ogos lalu.

“Manakala, 10 lagi suspek telah ditahan dalam beberapa operasi sebelum ini, bermula 1 Ogos lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, dalam beberapa siri serbuan dilakukan, pihak polis juga berjaya merampas kembali wang tunai berjumlah RM1.65 juta yang dijadikan sebagai duit tebusan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut merampas barangan yang telah dibeli oleh ahli kumpulan penjenayah itu berupa enam utas jam tangan mewah, enam buah beg tangan, enam buah telefon bimbit serta satu utas loket emas.

Hussein berkata, pihaknya turut merampas tujuh buah kenderaan yang dibeli menggunakan wang tebusan dan digunakan semasa penculikan serta proses mengeluarkan duit tebusan dalam bentuk mata wang kripto.

“Nilai keseluruhan barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM3.1 juta, manakala wang tebusan dibayar menerusi mata wang kripto melebihi RM5 juta,” katanya

Mengulas lanjut, katanya, kumpulan penjenayah seramai 18 orang itu mempunyai peranan masing-masing dalam kes penculikan tersebut termasuk perancang utama, perancang proses penculikan, menukar duit tebusan daripada bentuk mata wang kripto kepada wang tunai serta menjaga mangsa culik.

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Perancang utama penculikan telah ditangkap dan ada juga telah ditembak mati sebelum ini.

“Seorang perancang penculikan yang berjaya ditembak mati adalah pemandu kepada mangsa culik dari China. Kita juga percaya duit baki tebusan masih ada pada empat suspek yang diburu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN