PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi akan membentangkan Kertas Putih Agenda Negara Menua di Parlimen pada penggal pertama tahun depan bagi merangka semula kedudukan sosial negara.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sudah menyiapkan rangka kerja berkaitan itu serta pelan perancangannya bersama dengan Bank Dunia.
Beliau berkata, laporan dan rangka kerja itu akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) terlebih dahulu pada November ini.
“Sebenarnya kita sudah siapkan rangka kerja negara menua. Malah, ia akan menjadi salah satu tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Tinjauan Ekonomi Malaysia Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2024 di sini, hari ini.
Katanya, selepas mendapat kelulusan dan dibincang secara mendalam di peringkat kerajaan, ia kemudian akan dibentang kepada rakyat menerusi kertas Putih itu.
Rafizi berkata, unjuran negara menua ini perlu diketahui oleh rakyat keseluruhannya kerana ada kelemahan dari segi perlindungan sosial.
“Seperti ditunjukkan laporan OECD, kita ada kelemahan dari segi perlindungan sosial terutama kepada kumpulan pencen yang perlu kita beri penekanan segera,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi ketika berucap pada majlis pelancaran penemuan Banci Ekonomi 2023 baru-baru ini berkata, Malaysia bukan sahaja menjadi sebuah negara yang semakin menua, tetapi juga akan melalui proses tersebut dengan keadaan lebih miskin berbanding negara lain.
Sebelum ini, Banci Kebangsaan 2020 mendedahkan peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas meningkat dengan ketara dalam tempoh dua dekad lalu yang berjumlah 6.8 peratus atau 2.2 juta pada 2020 berbanding 3.9 peratus pada 2000. – UTUSAN