Kerjasama TVET, halal antara bidang kerjasama Malaysia-Timor-Leste

Kerjasama TVET, halal antara bidang kerjasama Malaysia-Timor-Leste

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan Lawatan Rasmi ke Timor-Leste bermula hari ini dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara dua negara.

Lawatan tiga hari itu antara lain dalam membina kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar dan perancangan bandar.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, dalam rangka lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga  Menteri Kemajuan Desa  dan Wilayah akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden, José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão.

Beliau turut  mengadakan perjumpaan  dengan rakan sejawat beliau, Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal  Ekonomi, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Francisco Kalbuadi Lay dan Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Kemajuan Desa dan Perumahan  Masyarakat, Mariano Assanami Sabino.

“Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan menyaksikan pertukaran Memorandum  Persefahaman antara Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Nasional Timor-Leste dalam  pengajian tinggi.

“(Selain itu ialah) Memorandum Persefahaman antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Human Capital Development Fund Timor-Leste (FDCH) dalam kerjasama mobiliti pelajar biasiswa Kerajaan Timor-Leste ke Malaysia; serta Surat Niat antara UniKL dan Institut Perniagaan Timor-Leste mengenai program pembangunan kakitangan dan mobiliti pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri juga akan merasmikan Sesi Meja Bulat anjuran Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) bertajuk ‘Menjadikan  Halal sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi Timor-Leste’.

Di atas jemputan Kerajaan Timor-Leste juga, Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri sambutan Ulangtahun Referendum yang ke-25 Timor-Leste di Parlimen Timor-Leste.

“Lawatan Rasmi ini akan terus mengukuhkan lagi tahap hubungan dua hala sedia ada dan  menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi  anggota penuh ASEAN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya