Kerjasama sekolah, PIBG, rakan jayakan pendidikan digital

Kerjasama sekolah, PIBG, rakan strategik jayakan dasar pendidikan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini dimaklumkan tahap kecekapan digital dalam kalangan guru terus mengukuh iaitu mencatatkan peningkatan pada tahun ini sebanyak 74.73 peratus atau 84,818 orang hingga 30 Jun lalu.

Kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan sebelum ini dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital (DPD) 2023 mendapati hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, manakala pertengahan (39.9 peratus) dan asas (57.9 peratus).

Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan tahun lalu menitikberatkan beberapa teras untuk mempertingkatkan kualiti dan prestasi, termasuk murid fasih digital, pendidik cekap digital dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, Kementerian Pendidikan mengunjurkan dasar itu dapat memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital di samping berupaya mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.

Ironinya kejayaan dasar ini mencakupi tiga perkara utama, iaitu pertama, memastikan dan menyediakan kemudahan infrastruktur dan teknologi merangkumi peranti, capaian, kesalinghubungan digital serta ruang dan kemudahan pembelajaran.

Kedua, para guru perlu dilatih dengan kemahiran digital yang diperlukan supaya setiap guru fasih digital dan ketiga adalah mencapai matlamat akhir iaitu melahirkan murid yang mahir dan fasih dalam bidang digital.

Kerjasama PIBG dan sekolah sewajarnya dapat meneroka hubungan baik dengan rakan strategik seperti GLC dan syarikat swasta untuk menghulurkan sumbangan dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR)

Misalnya kerjasama strategik Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang (SMKSS) dengan Dagang NeXchange Berhad (DneX) dan Creative Minds baru-baru ini berjaya mewujudkan Digital Hub di SMKSS yang membawa kepada penajaan beberapa peralatan digital seperti Smart Board, 3D Printer, set robotik dan set PocketLab Voyager yang bakal memberi impak besar terhadap proses kemenjadian murid di sekolah terutamanya dalam bidang teknologi dan pendigitalan.

PIBG SMKSS pula turut menyumbang dana untuk menyiapkan kemudahan dalam bilik Digital Hub sebagai pelengkap kepada inisiatif baharu ini yang pada akhirnya diyakini mampu meningkatkan minat murid terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan

Matematik (STEM) sekali gus merealisasikan objektif dan hasrat terkandung dalam Dasar Pendidikan Digital.
Justeru diharap lebih banyak lagi syarikat korporat dan swasta dapat tampil ke hadapan membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan digital yang diperlukan terutamanya di kawasan luar bandar. –UTUSAN

Noor Mohamad Shakil Hameed Ialah Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN