Kerenah anak sekarang boleh buat ibu terkejut - Sharifah Shahirah - Utusan Malaysia

Kerenah anak sekarang boleh buat ibu terkejut – Sharifah Shahirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cukup dikenali dengan sikap peramah dan ‘gila-gilanya’, selebriti dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah, sememangnya begitu disenangi ramai.

Selain perkembangan kerjaya seni, keluarga besarnya turut menjadi tumpuan ramai sementelah dia juga merupakan kakak kepada pelakon, Sharifah Sakinah, adik kepada Sharifah Haslinda, menantu kepada seniwati, Maria Arshad serta isteri kepada pelakon, Ijoy Azhari.

Kini, seiring perkembangan media sosial, anak-anaknya pula menjadi perhatian apatah lagi masing-masing juga terbuka berkongsi kehidupan di alam maya.

Bercerita mengenai anak-anak, siapa sangka, ibu kepada lima anak ini mengakui ada cabaran luar biasa yang perlu dipikul olehnya termasuk golongan ibu bapa lain dalam memastikan anak-anak tumbuh dewasa dengan baik.

Satu daripadanya adalah bagaimana dia berasa hairan mengapa anak-anak generasi sekarang terlalu lantang bersuara selain ada sesetengahnya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

“Saya nampak ramai kalangan ibu bapa kini berdepan dengan cabaran ini di mana, anak-anak sekarang terlalu ramai yang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mental. Anak-anak saya tidak didiagnos, tetapi saya lihat ada antara rakan mereka yang begitu.

“Mereka juga selalu berbual dengan Sakinah mengenai isu kesihatan mental ini seperti isu Gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD), benda-benda begitulah yang mana ibu-ibu era 90-an tak pernah tahu.

“Tapi saya juga perasan, mungkin memang benar keadaan itu banyak berlaku pada anak-anak masa kini sebab pada kebanyakan masa, mereka nampak okey sahaja dari segi luaran. Tetapi tahu-tahu rupanya sedang sakit dan perlu bergantung pada ubat-ubatan,”katanya.

Shahirah berkata demikian semasa ditemu bual di majlis Pelancaran BeCalm Cookies Bersama Kempen Kesihatan Mental You Can Be Okay di sini, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, kata Shahirah, dia juga mengakui, sikap dan cara anak-anak generasi sekarang membawa diri berbeza dengan apa yang pernah dilalui individu sezamannya selain menyifatkan pengaruh media sosial memainkan peranan penting dalam hal ini.

“Kalau perasan, budak-budak sekarang bercakap sangat ‘bisa’ terutama apabila mereka menggunakan media sosial, mereka berani. Adakala apabila ditegur, mereka tak boleh terima apa yang kita cakap.

“Macam anak-anak saya pun, bila kita tegur, dia cakap balik pada kita. Kadangkala saya pun tak boleh terima. Iyalah, kita ini ibu, lebih tua daripada mereka. Banyak benda yang kita sebagai ibu ini belajar dengan anak sekarang.

“Dulu, zaman saya, bila mak larang kata jangan, kita tak buat. Kalau mak marah, kita tak berani nak menjawab. Tetapi budak-budak sekarang lain, kita marah, dia pula jawab balik sampai buat kita terkejut,” katanya.

TEGAS DENGAN ANAK

Tidak menolak bahawa dia perlu bersikap tegas terhadap anak-anak, pengacara ini juga mengakui adakala mencuba memahami situasi selain memantau tingkah laku mereka.

“Anak sulung saya okey, dia wanita yang kononnya ada filosofi. Manakala yang empat lagi macam-macam kerenah juga. Ada ketika mereka boleh kata yang kita ini tidak berada dalam ‘kasut ‘mereka.

“Saya cakap, dulu ‘kasut’ kita pun teruk. Maksudnya perjalanan hidup kita susah dan sebagainya waktu 80-an dulu, dengan tak ada duitnya. Entahlah, pada mulanya tertanya juga adakah generasi sekarang semakin biadap?

“Tetapi tak boleh kata begitu, sebab sekarang pun macam-macam anasir wujud. Bukan sahaja pergaulan, kita juga bimbang dengan faktor bahan ‘chemical’, video visual dan sebagainya. Sebab itu saya katakan mencabar membesarkan anak-anak zaman sekarang,”katanya.

Meskipun begitu, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, dia dan suami akan tetap memantau perkembangan anak-anak mereka sementelah zuriat adalah amanah yang telah Allah SWT kurniakan.

Pada masa yang sama, kata Shahirah, dia tidak menghalang anak-anaknya untuk berkawan dengan sesiapa namun mengambil tahu latar belakang mereka termasuk pergerakan harian anak-anak.

“Kalau sibuk sekali pun, kita sebagai ibu bapa kena juga ambil tahu dan pantau anak-anak. Ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, pergi ke mana dan sebagainya. Sebab dunia sekarang semakin mencabar.

“Saya ini pula cepat overthinking, jadi sentiasa kena tahu di mana mereka. Bahkan, kalau anak lelaki pun saya bimbang juga,” katanya.

Untuk info, Shiera mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Zulkifli Azahari atau Ijoy pada 2003. Mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt, Shiera dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya