Kerajaan tidak tangguh pelaksanaan lesen media sosial - fahmi 

Kerajaan tidak tangguh pelaksanaan lesen media sosial – fahmi 

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, malah, Kerajaan Malaysia kekal dengan  berpendirian bahawa platform media sosial dan sistem pesanan internet perlu dikenakan rangka kawal selia untuk menjamin internet lebih selamat untuk rakyat negara ini terutama kanak-kanak dan keluarga.

Menurut beliau, sewaktu perbincangannya bersama wakil syarikat platform media sosial dan pesanan internet di Singapura baru-baru ini, mereka menyatakan pandangan yang positif dan kekal dengan pendirian itu.

Dalam hal ini, beliau hairan atas tindakan Gabungan Internet Asia (AIC) mengutuskan surat terbuka termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan pelesenan itu.

“Ia agak pelik malah agak janggal apabila syarikat Grab mengeluarkan kenyataan, mereka tak ada kaitan dengan surat AIC, tak dibincang dan ini kita serah kepada AIC untuk menjawab.

“Saya bersikap terbuka (untuk berbincang), sejujurnya saya bersedia untuk bertemu dengan pihak AIC atau mana-mana pihak sekalipun, mungkin AIC belum memberikan maklumat dan taklimat mengenai garis masa yang kita telah tetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, hari ini.

AIC menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri meminta kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

AIC yang anggotanya termasuk Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab, mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Bagaimanapun, anggota gabungan itu, Grab menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya tidak terbabit dalam perihal surat terbuka AIC kepada Perdana Menteri Jumaat lalu dan pihaknya tidak dimaklumkan atau dirunding berhubung surat berkenaan yang menyentuh mengenai kerangka kawal selia kerajaan ke atas platform media sosial dan pesanan Internet.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihak MCMC juga sudah memberikan ruang kepada AIC untuk menyampaikan pandangan pada Mei lalu tetapi mereka meminta untuk dilanjutkan sehingga beberapa kali.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga turut mengambil pandangan daripada beberapa negara berhubung pelaksanaan rangka kawal selia ini termasuk di negara-negara barat seperti United Kingdom setelah berlakunya rusuhan  di sana.

“Mereka merasakan platform-platform ini perlu diperketat segera. Semalam pun saya bertemu dengan bekas Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia, beliau sendiri menyatakan bahawa langkah Kerajaan Malaysia mempertimbangkan dan mengenakan rangka kawal selia dan melesenkan platform-platform ini adalah langkah betul,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN