Kerajaan tiada hasrat bangunkan platform media sosial sendiri, ia bukan keutamaan ketika ini

Kerajaan tiada hasrat bangunkan platform media sosial sendiri, ia bukan keutamaan ketika ini

FAHMI Fadzil melawat pameran FINAS pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat membangunkan platform media sosial sendiri biarpun terkilan dengan isu berat sebelah dilakukan penyedia platform sosial gergasi, Meta Platforms Inc (META) baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bukanlah menjadi keutamaan bagi kerajaan buat masa ini.

Beliau berkata, pihaknya akui kos membina platform media sosial sangat tinggi dan keutamaan kerajaan adalah menyelesaikan isu-isu lain yang lebih utama seperti sekolah daif.

“Kita tahu untuk mewujudkan platform bagi sejumlah rakyat pada ketika ini, pihak kerajaan perlu juga menyelesaikan banyak masalah lain seperti sekolah-sekolah daif.

“Jadi saya lihat keutamaan kerajaan bukan dalam membangunkan platform media sosial bukan….bukan pada waktu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan kementerian hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak melarang mana-mana pihak termasuk swasta di negara ini yang berhasrat membangunkan platform itu.

Fahmi berkata, mereka yang berminat membangunkan platform itu boleh berhubung dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dalam pada itu, Fahmi mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak akan menutup atau menyekat platform media sosial susulan beberapa isu sekatan dan penurunan kandungan terutama membabitkan hantaran di Facebook (FB) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kita boleh pertimbangkan mungkin dalam kita mengusahakan kod tatalaku garis panduan yang akan diperkenalkan kelak.

“Ketika ini, saya lihat kerjasama diberikan oleh platform berkenaan terutama dalam menyampaikan aduan, saya boleh terima. Ini juga bermaksud mereka pun mengaku bahawa ada kelemahan di pihak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN