RUNDINGAN gencatan senjata api dan pembebasan tebusan yang dijangka berlangsung pada hari ini bergantung kepada Israel sama ada negara itu bersetuju dengan pelan asal seperti pernah dibentangkan pada sebelum ini.
Meskipun Hamas dikatakan memberi ‘lampu hijau’ kepada pelan gencatan senjata dengan meletakkan syarat iaitu menolak sebarang usaha mewujudkan rundingan dan pelan baharu kerana menegaskan mahu dia dilaksanakan seperti mana rancangan asal.
Kenyataan kumpulan terhadap rundingan itu dibuat selepas Hamas menamakan Yahya Sinwar sebagai Ketua Biro Politik Hamas yang baharu selepas pembunuhan Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Teheran, Iran awal bulan ini.
“Kenyataan kami sudah jelas, kami hanya pelaksanaan, bukannya rundingan,” kata seorang jurucakap Hamas kepada Reuters.
Sebelum ini, pelan asal gencatan senjata dipernah dibentangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kemudian disahkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengandungi tiga fasa.
Antaranya gencatan senjata penuh dengan tentera Israel perlu berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza manakala Hamas pula membebaskan sebilangan tebusan ditangkap dalam serangan 7 Oktober 2023.
Israel penentu gencatan senjata api
Kelmarin, Kerajaan Israel memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar delegasi untuk memuktamadkan perincian perjanjian rundingan tersebut, seperti memetik laporan Reuters.
Pejabat Perdana Menteri Israel berkata, Israel akan menghantar pasukan perunding pada 15 Ogos ini ke tempat yang dipersetujui bagi memuktamadkan butiran pelaksanaan perjanjian terbabit.
Menurut seorang pegawai yang enggan dikenali, Israel menerima baik idea rundingan itu dan menolak tuduhan bahawa Benjamin Netanyahu sedang menangguhkan perjanjian terbabit.
Namun sama ada Hamas akan menghantar wakil ke rundingan itu masih belum diketahui sehingga kini, apatah lagi apabila jurucakap pergerakan itu menafikan laporan CNN bahawa mereka akan hadir dalam perbincangan tersebut.
Apa terjadi jika gagal?
Sudah pasti, kegagalan rundingan akan membawa konflik berterusan di Gaza apabila sehingga kini lebih 40,000 orang maut sejak peperangan di wilayah itu bermula sejak Oktober lalu. Selain itu, tidak mustahil Iran akan menyerang Israel dalam masa terdekat sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ismail di Teheran, awal bulan ini.
Memetik laporan Reuters, salah satu sumber iaitu pegawai kanan keselamatan Iran berkata, pihaknya bersama sekutu seperti Hezbullah akan melancarkan serangan langsung jika rundingan Gaza gagal atau ia dianggap Israel sedang mengheret rundingan.
Katanya, hanya rundingan gencatan senjata api Gaza dapat menghalang Iran daripada melakukan serangan balas terhadap Israel, menurut pegawai kanan Iran tersebut. Namun sumber itu tidak menyatakan berapa lama Iran akan membenarkan rundingan diteruskan sebelum melakukan tindakan balas.
Malah kenyataan terbaharu Biden bahawa hanya gencatan api dapat menghalang Iran melakukan serangan balas terhadap Israel sekali gus menunjukkan perkara itu dapat menghalang konflik perang Asia Barat.
Minggu lalu, Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir menggesa Israel dan Hamas kembali ke meja rundingan untuk menyambung semula perbincangan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tahanan sebagai satu langkah menamatkan segera konflik.
Kenyataan itu berkata, ketiga-tiga negara tersebut sudah membentuk kerangka perjanjian yang hanya tinggal butiran pelaksanaan untuk dimuktamadkan.
Menerusi kenyataan, ketiga-tiga negara pengantara terbabit menjemput Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu untuk memulakan kembali rundingan pada 15 Ogos bagi menutup semua jurang yang masih ada dan melaksanakan perjanjian tanpa penangguhan.