Kempen zakat ‘Jom Potong’: PPZ-MAIWP tumpu bantu golongan asnaf 

Kempen zakat ‘Jom Potong’: PPZ-MAIWP tumpu bantu golongan asnaf 

Abdul Hakim Amir Osman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen ‘Jom Potong’ sebagai usaha untuk memastikan kebajikan golongan asnaf atau ‘miskin bandar’ akan terus terjaga dan dipelihara.

Ini kerana, kemiskinan bandar sering kali dipandang remeh apabila golongan B40 terpaksa berhadapan kesukaran hidup amat mencabar terutama di kawasan bandar yang memerlukan kos sara hidup yang tinggi.

Berdasarkan statistik portal MAIWPNow, jumlah asnaf di Wilayah Persekutuan semakin meningkat iaitu seramai lebih 130,000 orang.  

Malah sebelum pandemik Covid-19, kira-kira 18,000 ketua keluarga menerima bantuan bulanan, namun angka ini terus meningkat kepada 34,000 selepas pandemik. 

Jumlah itu dijangka semakin bertambah dengan anggaran penerima bantuan mencecah sehingga 37,000 ketua keluarga pada 2025. 

Ketua Pegawai Eksekutif (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen tahunan ‘Jom Potong’ yang dilaksanakan bermula 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini bagi memastikan kakitangan awam dan swasta untuk memulakan pembayaran atau menambah kadar zakat melalui potongan gaji.

“Sebanyak 67 peratus penerima bantuan adalah lelaki berumur antara 41 hingga 67 tahun, kebanyakannya tidak mampu bekerja kerana faktor usia atau kesihatan.

“Malah, kempen ini bertujuan menggalakkan lebih ramai individu, syarikat dan juga institusi untuk menunaikan zakat di PPZ-MAIWP, yang secara tidak langsung menjamin keberterusan bantuan bulanan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Abdul Hakim berkata, kutipan zakat setakat 2 Ogos adalah RM573.65 juta manakala jumlah agihan adalah RM604 juta, menunjukkan kempen ‘Jom Potong’ ini penting dalam meningkatkan kutipan zakat bagi memastikan keperluan asnaf di bandar sentiasa terjaga.

“Pembayaran zakat boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu bersusah-payah, hanya isi borang dalam talian di ptg.zakat.com.my bagi membuat potongan setiap bulan.

“Selain itu, setiap pembayaran zakat melalui potongan gaji di PPZ-MAIWP akan dilindungi oleh Skim Kafalah Muzakki atau khairat kematian sehingga RM3,000 diberikan kepada waris pembayar zakat yang meninggal dunia. 

“PPZ-MAIWP turut menawarkan Skim Wakalah kepada pembayar yang membayar zakat melebihi RM20,000 setahun di mana mereka akan menerima pulangan antara 12.5 hingga 50 peratus bergantung kepada jumlah zakat yang dibayar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, kempen zakat ‘Jom Potong’ dianjurkan selaras dengan moto PPZ-MAIWP iaitu ‘Memudahkan Anda Berzakat’ kerana kempen ini sangat mudah untuk dilaksanakan.

“Cara pembayaran zakat boleh dilakukan melalui tiga cara iaitu melayari portal dalam talian portal ptg.zakat.com.my dan isi borang potongan gaji yang disediakan. Orang ramai juga boleh mengunjungi mana-mana kaunter PPZ-MAIWP.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan borang potong gaji zakat daripada majikan masing-masing yang biasanya disediakan oleh PPZ-MAIWP untuk memudahkan pendaftaran,” katanya.

Tambahnya, PPZ-MAIWP menggalakkan majikan untuk membenarkan kakitangan mereka membuat bayaran zakat melalui potongan gaji bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab zakat dengan lebih efisien dan tidak lagi bertangguh.

“Melalui kempen yang dilaksanakan, diharapkan lebih ramai majikan dan individu menyahut kempen ini dan menunaikan tanggungjawab membayar zakat dengan lebih konsisten bagi membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN