Kembara Sains Borneo 2024 perkasa agenda STI - Utusan Malaysia

Kembara Sains Borneo 2024 perkasa agenda STI

PELAJAR merasai pengalaman mencerap Matahari bersama Planetarium Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membawa pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pameran interaktif dan aktiviti sains yang menyeronokkan bagi memperkasa agenda STEM negara menerusi program Kembara Sains Borneo.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata pihaknya sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berteraskan rangka kerja Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (2021-2030) bagi memperkukuh dan memantap peranan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, MOSTI serius dalam usaha merakyatkan sains dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 

Antaranya membawakan pengalaman penerokaan dan pembelajaran STEM kepada masyarakat setempat, dengan tujuan untuk meningkatkan minat, pemahaman dan kemahiran dalam bidang STEM.
“Agenda ini bertujuan untuk memupuk potensi serta melahirkan lebih ramai individu berpengetahuan dalam bidang STI yang amat diperlukan dalam merealisasikan pembangunan negara ke arah negara berteknologi tinggi pada masa hadapan,” ujarnya dalam majlis perasmian Kembara Sains Borneo (KSB) di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Penganjuran KSB 2024 di bawah inisiatif Minggu Sains Negara (MSN), MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) membawakan pengalaman pembelajaran sains bukan formal yang menyeronokkan khusus untuk komuniti di Sabah dan Sarawak.

“KSB 2024 dianjurkan secara bersama oleh PSN, MOSTI dengan kerjasama padu rakan-rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta rakan penaja utama program, iaitu Hibiscus Petroleum Berhad.

Kerjasama strategik antara PSN dan Hibiscus Petroleum Berhad mencerminkan dedikasi dan komitmen sektor swasta dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi, dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara sektor awam dan swasta, tetapi juga membuka peluang baharu dalam pendidikan sains dan teknologi.

 

Dengan sokongan ini, lebih banyak program interaktif dan pameran inovatif dapat dianjurkan, memberikan pengalaman dan pembelajaran yang lebih menarik dan bermak na kepada rakyat.

Ini sekali gus meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap kepentingan STI dalam memacu kemajuan negara

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman berkata, Kembara Sains merupakan Program Khas PSN yang telah dilaksanakan sejak 2015.
Ia adalah platform bagi PSN mendekati pelajar dan komuniti di kawasan luar bandar.

Tujuan program pembudayaan ini adalah untuk memupuk minat masyarakat dalam bidang STEM melalui kaedah pembelajaran interaktif dan kreatif.

Katanya lagi, istimewanya KSB 2024 akan menjelajah ke 10 daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan dan Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu.
Daerah lain ialah Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Belud Tuaran, Kinarut dan Papar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN