KUALA LUMPUR : Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Ajak, meluahkan rasa syukur kerana persahabatannya dengan Shahrul kembali pulih selepas tiga tahun dingin.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanafi Razak,39, dia menyifatkan hubungannya dengan rakan seperjuangannya itu profesional dan dapat diperbaiki dengan baik kerana tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga.
“Inilah asam garam dalam persahabatan. Sepanjang proses berbaik itu saya dan juga Shahrul tidak ada pihak ketiga yang masuk campur.
“Tiada siapa yang melagakan kami dan kami selesaikan secara dewasa. Akhirnya perbalahan tiga tahun ini selesai,” katanya.
Ajak memaklumkan perkara itu ketika sidang media Jelajah Suria Kuasa Dua di The Estate Hill, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya mengenai tips dalam bersahabat, untuk kata Ajak, amat sukar untuk mengelak berlakunya pertingkahan dan perbalahan akibat perbezaan pendapat namun masing-masing perlu menurunkan ego untuk meleraikan masalah yang berlaku.
“Kita kena perlu turunkan ego sebab benda itu adalah wajar. Jangan fikir masing-masing betul. Kalau gaduh lama pun, tiada siapa yang sebenarnya betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya bagaimana dia terbuka hati untuk bertemu dengan Shahrul untuk berbaik, Ajak meluahkan dia berasa terkejut dan seronok apabila mendapat mesej daripada rakannya itu.
“Semasa hari raya dia nampak bideo saya dan malam itu dia mesej saya ajak berjumpa di pejabat. Banyak yang dibincangkan.
“Kami bersembang dan ingat semula kenangan lama. Saya rasa sebak ketika itu sebab mestilah masih ada rasa sayang,” ujarnya.
Untuk rekod, salah faham antara Ajak dan Shahrol sebelum ini menjadi bualan ramai selepas mereka saling berbalas kenyataan di sosial media sekitar tahun 2022.