Kembali bercinta dengan Afieq Shazwan? - Utusan Malaysia

Kembali bercinta dengan Afieq Shazwan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerap muncul bersama kebelakangan ini menuai spekulasi. Peminat mula berteka teki, bertaut semulakah cinta Wani Kayrie dan Afieq Shazwan? Kemesraan yang mereka pamerkan membuatkan hati peminat berbunga-bunga.

Puas juga Wani memberikan penjelasan, sejarah cinta lama tidak berulang. Tapi peminat tak putus doa dan harapan agar cinta mereka, yang sebelum ini terlerai di tengah jalan, bertaut semula dan berakhir ke jenjang pelamin.

Wani yang ditemui pada Anugerah TikTok 2025 baru-baru ini menoktahkan spekulasi dan gosip percintaan. Bukan niat mahu mengecewakan peminat. Tetapi mahu bersikap realistik.
Keakraban sekadar atas nama persahabatan.

“Peminat ada hak untuk berspekulasi, mengatakan kami kembali bersama dan sebagainya. Kalau boleh, saya tak mahu mengulas lagi perkara ini. Terserah mahu fikir apa.
“Yang jelas, kami hanya kawan. Tak lebih sekadar bersahabat baik.

“Kalau pun ada yang mendoakan perkara yang baik (jodoh), saya aminkan sahaja,” katanya.

Wani disatukan semula dengan Afieq menerusi satu persembahan di majlis anugerah tersebut.

Tiada istilah kekok atau janggal, Wani menyambut baik sikap Afieq yang profesional dalam bekerjasama.

“Kami bukanlah baru semalam bergandingan bersama atas satu pentas. Malah sejak tahun 2018 lagi. Tapi kalau untuk program televisyen, malam Ahad lepas adalah yang pertama kali.
“Bertahun-tahun kami tidak digandingkan bersama, saya jadi seronok dan senang bekerja dengan Afieq.

“Mungkin sebab hubungan kami kekal baik. Ramai yang tak tahu, kami berkawan sejak kecil lagi. Keakraban kami lebih ketara apabila sering membuat kandungan media sosial bersama.

“Tapi, kami sekarang hanya kawan. Kami tahu perkara itu,” kongsinya.

AKHIRI ZAMAN BUJANG?
DALAM ramai yang mahu berkahwin muda, membina keluarga, Wani pula memilih untuk masih solo.

Lagi pula, usianya masih muda, 24 tahun, masih dalam fasa menikmati hidup bujangan.

Tapi hakikatnya, pemilik nama penuh Syazwani Abdullah ini hanya memikirkan tentang keluarga.

Tanggungjawab masih untuk orang tua dan adik beradik memandangkan pelakon dan penyanyi cantik ini merupakan anak sulung dalam keluarga.

“Komitmen saya untuk bantu keluarga, adik beradik pula masih bersekolah. Sebagai kakak, tanggungjawab saya adalah untuk membantu keluarga.

“Jadi saya belum sedia berkahwin dan tinggalkan keluarga. Ini kemahuan saya, yang mahu melihat orang tua dan adik beradik saya hidup senang,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN