Kematian Nidza Afham tiada unsur jenayah - Polis

Kematian Nidza Afham tiada unsur jenayah – Polis

Ditipu pelaburan
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis meneruskan siasatan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses bedah siasat berlangsung selama empat jam bermula pukul 11 pagi semalam bagi mengenal pasti punca kematian, namun tiada unsur jenayah dikesan.

“Punca kematian pending laboratory investigation dan siasatan diteruskan sebagai mati mengejut. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan buat masa ini. Siasatan diteruskan sebagai SDR untuk kenal pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menunggu laporan tersebut untuk menentukan jika terdapat sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan kematian Muhammad Nidza Afham atau dikenali sebagai Nidza Afham.

Nidza Afham, 23, dilaporkan hilang kira-kira pukul 7.45 malam kelmarin selepas keluar dari rumah di Bandar Puteri Klang untuk beriadah di Stadium Sultan Sulaiman dengan menaiki kenderaan perkhidmatan e-hailing (InDrive).

Lokasi terakhir Nidza Afham yang merupakan abang kepada penyanyi Aufahanie dikenal pasti dekat Jambatan Kota, Klang menerusi aplikasi Find My iPhone.

Bagaimanapun, ketika di lokasi kejadian, hanya telefon bimbit dan dompet yang masih berisi kad pengenalan dan kad pelajar ditemukan, bagaimanapun kad bank milik Nidza Afham dan wang tunai dipercayai hilang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong kemudian mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di Sungai Klang kira-kira pukul 7 petang semalam.

Hussein dalam maklumannya kemudian mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Nidza Afham.

Jenazah penyanyi yang pernah mengeluarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku itu dibawa ke Masjid Puncak Alam selepas selesai dimandi dan dikafankan di Unit Perubatan Forensik HSA. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam selepas solat Asar.

Sementara itu, Aufahanie berkata, Allahyarham Muhammad Nidza Afham mula berjoging selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) di bahagian lutut kaki kanannya, lebih sebulan lalu.

Katanya, abangnya seorang aktif sukan yang suka bermain pelbagai sukan seperti bola sepak, futsal dan badminton.

“Namun, abang mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya selepas bermain bola sepak dengan rakan-rakannya, beberapa bulan lalu.

“Doktor menasihatkan abang supaya berehat untuk beberapa bulan sehingga lututnya pulih,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA), di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN