KUALA LANGAT: Seorang pekerja baharu kilang proses sawit maut dengan keadaan seluruh tubuh badannya hancur selepas terjatuh ke dalam mesin pemproses bahan komoditi itu ketika sedang bekerja dekat sebuah kilang di Jenjarom, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pekerja lelaki berusia 34 tahun itu baru memulakan pekerjaannya di premis terbabit pada 13 Ogos lalu.
Menurutnya, polis menerima aduan daripada salah seorang daripada dua rakan sekerja mangsa pada 9.15 malam tadi.
“Menurut pengadu dan rakan sekerja, mangsa merupakan seorang pekerja tempatan rehat pada pukul 1 tengah hari dan kembali bekerja pada 1.50 petang, manakala rakan sekerjanya keluar rehat pukul 2 petang dan masuk semula pada pukul 2.30 petang.
“Namun rakan sekerja mendapati mangsa tiada di lokasi (tempat bekerja) dan mesin serat beroperasi tanpa operator. Pengadu dan pekerja mencari di kawasan sekitar pada pukul 5.57 petang dan menemukan kasut, serpihan baju serta cebisan tulang di atas timbunan serat sawit,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, pekerja tempatan itu dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemproses berkenaan ketika sedang mengendalikannya.
“Cebisan daging diuruskan oleh Unit Perubatan Forensik Hospital Banting dan dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.
“Tiada sebarang unsur jenayah (berhubung kejadian tersebut) dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut (SDR),” ujarnya. – UTUSAN