MELAKA: Ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang mayatnya dijumpai di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dekat sini pada 31 Disember 2023 menerima jenazah Allahyarhamah dengan reda, walaupun keadaannya tidak sempurna.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ashari Abu Samah berkata, suami, ibu dan bapa mangsa dibawa melihat jenazah di Jabatan Forensik Hospital Melaka hari ini sebelum dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan.
Menurutnya, sebelum penyerahan dilakukan, ahli keluarga telah dipanggil oleh pegawai perubatan untuk diberi penerangan mengenai keadaan jenazah yang tidak sempurna.
“Waris dapat terima seadanya keadaan jenazah setelah diterangkan oleh doktor, walaupun ibu arwah sebak dan menitiskan air mata. Jadi semua proses berjalan dengan lancar dan selebihnya kita serahkan kepada keluarga untuk tentukan.
“Ada beberapa anggota badan belum ditemui. Jadi bukanlah sempurna jenazah ini yang ditemui pada peringkat awal dan peringkat kedua sahaja yang diserahkan kepada ahli keluarga arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Pagi tadi, seorang pelabur mata wang didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh seorang guru wanita pada Disember lalu.
Tertuduh, Mohd. Fadzly Ariffadzilah, 36, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023.
Tambah Ashari, siasatan masih berjalan walaupun suspek telah dituduh bagi mencari petunjuk baharu untuk membantu siasatan.
Menurutnya, polis percaya tidak ada suspek lain yang terlibat dalam pembunuhan tersebut melainkan tertuduh.
“Setakat ini kita hanya tertumpu kepada kes ini terlebih dahulu kerana banyak bukti-bukti penting yang ada sehingga kita berjaya tuduh suspek di Mahkamah Majistret Alor Gajah kira-kira pukul 10.30 pagi tadi,” ujarnya.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan jabatan forensik dengan kehadiran para waris dari Kelantan dan Kota Masai, Johor sejak pukul 10.30 pagi.
Jenazah telah dimandikan dan dikafankan di Hospital Melaka selepas proses tuntutan selesai dilakukan.
Kira-kira pukul 2.10 petang, van jenazah meninggalkan pekarangan jabatan forensik menuju ke Kampung Kubang Badak, Pasir Mas untuk dikebumikan. – UTUSAN