Keluarga Nur Farah Kartini terkilan tak sempat ikuti prosiding

Keluarga Nur Farah Kartini terkilan tak sempat ikuti prosiding

MUHAMMAD Alif Monjani menghadiri sebutan kes bunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Ahli keluarga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah terkilan apabila ‘terlepas’ untuk mengikuti prosiding sebutan kes bunuh wanita terbabit walaupun tiba tepat pukul 9 pagi di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

 

Sebutan membabitkan Lans Koperal Muhammad Alif Monjani disebut di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri kira-kira pukul 8.55 pagi tadi. Prosiding terbabit juga tidak mengambil masa lama.

 

“Kes start (mula) awal, kami tidak sempat masuk,” kata abang Nur Farah Kartini, Mohd. Farriza Azmi, 28, yang turut hadir bersama ibunya, Salmah Abdullah, 57.

 

Sementara itu, sepupu Nur Farah, Suzur Sofia Smeth Jaya, 33, yang pernah mengikuti prosiding pertuduhan sebelum ini turut menyatakan dia juga tidak sempat mengikut prosiding itu.

 

“Mak dengan abang memang datang nak tengok. Saya sebelum ini memang sudah datang tapi nak buat macam kita tunggu next (seterusnya) prosiding (7 Oktober),” katanya. 

 

Terdahulu, Nurul Izzah menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes selepeas pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan memaklumkan laporan kimia berhubung kes itu belum diperoleh.

 

Peguam bela, Nur Aida Md. Zainuddin yang mewakili tertuduh turut mengesahkan perkara itu.

 

Pada 26 Julai lalu, Muhammad Alif, 26, didakwa membunuh Nur Farah, 25, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu.

 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan (sekiranya tidak dikenakan hukuman mati), jika sabit kesalahan.

 

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Alif kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

 

Nur Farah Kartini, hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

 

Polis menemukan telefon pintar di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor manakala beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

 

Polis turut menemukan dua rangkai kunci kereta dan dompet mengandungi kad pengenalan milik Nur Farah Kartini.

 

Anggota polis berpangkat Lan Koperal itu ditahan pada 15 Julai lalu pada hari sama penemuan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang.

 

Jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah selamat dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang pada 18 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN