Kelazatan masak gulai tempoyak di Teratak Nyda

Kelazatan masak gulai tempoyak di Teratak Nda

NORAIFAA Azmee bersama pelbagai jenis hidangan di Teratak Tempoyak Nda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAH ‘dilabon’ (cakap) mengenai mutu buah durian di Perak termasuk di Gopeng, Kampar yang terkenal dengan keenakan rasa gulai tempoyak  tidak kiralah durian kampung atau jenis premium.

Selain lazat dimakan begitu saja, ternyata durian turut sedap untuk dijadikan tempoyak yang melalui pelbagai eksperimen dunia kulinari diolah menjadi masakan yang menyelerakan.

Begitu juga bagi pemilik Teratak Tempoyak Nda di Gopeng, Noraifaa Azmee yang mengusahakan restoran itu sejak 2015 yang mempertaruhan masakan asli berasaskan tempoyak sebagai ‘killer menu’ dalam usaha memperkenalkan masakan tradisi rakyat Perak.

Wanita muda berusia 29 tahun ini memperkenalkan gulai tempoyak ikan kembung, patin, siakap, tilapia merah, udang dan pais pelbagai jenis ikan yang sememangnya membangkitkan selera sesiapa sahaja yang mencubanya.

Teratak Tempoyak Nda

-Terletak di No.12, Kampung Pulai, Kawan Kuda Baru, Gopeng, Perak.
-Dibuka dari pukul 11 pagi hingga 5 petang. Tutup setiap Rabu. Bagi tempahan awal sila hubungi Noraifaa di talian 010- 289 4258.
-Terkenal dengan signature berasaskan tempoyak seperti gulai tempoyak ikan patin, kembung, siakap, tilapia merah, udang dan pais pelbagai jenis ikan segar.


Namun, pastikan anda tidak makan beberapa jam sebelum itu bagi memastikan dapat merasai kelazatan setiap menu berasaskan gulai tempoyak di restoran berkeluasan hampir setengah ekar itu yang lengkap dengan tempat meletakkan kenderaan yang luas.

Tidak menunggu lama, dengan kekuatan pekerja iaitu suami dan ayahnya menyajikan gulai tempoyak ikan patin yang sarat dengan taugeh kasar yang bahan itu merupakan antara bahan asas gulai tempoyak dihasilkan secara tradisional secara turun temurun.

Apa hendak dikata, adunan rasa pedas, masam tempoyak, taugeh kasar dan ikan patin segar membangkitkan keghairahan penulis untuk menikmatinya dengan penuh selera.

Digabungkan dengan nasi putih yang masih panas, telur dadar, sambal belacan, timun, petai dan ulam-ulaman terasa seperti dapat melupakan masalah dalam fikiran seketika.

Perjalanan dunia makanan tidak berhenti di situ. Pelanggan pastinya masih tidak puas dan boleh untuk mencuba gulai tempoyak udang dan pais tempoyak ikan tilapia merah.

“Itu baru ‘opening’ tidak cukup lagi sebenarnya, saya tambah sepinggan lagi nasi putih, cuba pula gulai tempoyak udang dan pais tempoyak ikan tilapia merah yang antara kegemaran pelanggan,” syornya.

Kedua-dua menu itu ternyata membangkitkan deria rasa dan bau hasil ikan patin tempoyak yang asli.

Udang segar terasa kemanisannya disulami rasa masam tempoyak. Memang tidak puas menghirup kuahnya berkali-kali yang membanjir nasi putih di pinggan.

Pais tempoyak ikan tilapia merah yang disaluti dengan daun pisang sebelum dibakar menghasilkan aroma yang menyegarkan dengan latar belakang restoran yang bercirikan kekampungan dan santai.

Noraifaa menggunakan sehingga 50 kilogram (kg) tempoyak setiap bulan dan harga setiap set gulai tempoyak ikan dan udang termasuk sepinggan nasi putih serta sambal belacan dan ulam-ulaman bermula RM20 hingga RM25. Tambahan RM2 sekiranya masakan ditambah dengan petai.

Perjalanan gastronomi di Teratak Tempoyak Nda ternyata masih belum berakhir kerana katanya, selain gulai tempoyak masakan udang dan sotong sambal turut digemari pelanggannya.

“Perut boleh masuk lagi itu, cuba pula udang dan sotong sambal yang ditambah dengan petai yang dibeli daripada orang kampung di Gopeng. Petainya bersaiz besar dan rangup apabila dimakan,” katanya.

Wanita ini ternyata mempelajari selok-belok penyediaan masakan tradisional kampung dengan baik kerana elemen rasa pedas, masin dan manis dieksploitasi sepenuhnya di dapur penyediaan masakan kerana hasilnya luar biasa.

Cukup rasa, cukup sifat dan ternyata sedap diratah begitu sahaja tanpa memerlukan padanan nasi kerana teksturnya yang cukup sempurna sebagai penutup episod penjelajahan masakan di Teratak Tempoyak Nda yang mengujakan.

Jika singgah ke Perak atau menuju ke Kuala Lumpur jangan lupa lupa singgah ke Teratak Tempoyak Gopeng untuk menikmati gulai tempoyak ramuan tradisional orang Perak yang membuatkan anda pasti tidak menyesal. Ate moh le, apa tunggu lagi! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya