Kedudukan mahkamah syariah dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri mampu perbetul persepsi

Kedudukan mahkamah syariah dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri mampu perbetul persepsi

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pindaan untuk memperuntukkan mahkamah syariah dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri adalah wajar diikuti negeri-negeri lain dalam usaha memperbetulkan persepsi tentang status mahkamah syariah.

Ia selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan pindaan dengan memperuntukkan perkara Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri Terengganu menjadi negeri pertama berbuat demikian.

Menurut Pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, kedudukan mahkamah syariah selepas pindaan itu sekali gus menyangkal tohmahan mereka yang sering mencari jalan untuk merendah-rendahkan kedudukan sistem pentadbiran keadilan undang-undang diri orang Islam.

“Pindaan sedemikian jika turut digubal dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri lain, ia dapat mengelakkan tafsiran mahkamah yang melihat kedudukan mahkamah syariah secara bercanggah dengan sejarah perundangan Tanah Melayu.

“Ini kerana ada keputusan mahkamah yang mentafsirkan mahkamah syariah tidak setara dengan mahkamah kehakiman persekutuan yang dikenali sebagai mahkamah awam (sivil) kerana peruntukan tentang mahkamah syariah (kecuali di negeri Terengganu) hanya disebut dalam enakmen negeri, barangkali peguam tidak membawa pemerhatian mahkamah awam (sivil) tentang kedudukan mahkamah awam dan syariah sebelum tahun 1948” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, sidang DUN Kedah itu meluluskan pindaan yang antara lain, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 turut mewujudkan Mahkamah Utama Syariah dalam sistem hierarkinya berbanding hanya Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Wan Ahmad Fauzi berkata, pada hakikatnya mahkamah syariah dan mahkamah awam sebelum pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, kedua-duanya adalah mahkamah negeri.

Jelasnya, pada ketika itu penubuhan kedua-duanya adalah mengikut kaedah perundangan semasa berdasarkan prerogatif diraja.

“Tidak timbul yang mana tinggi dan yang mana rendah kerana beza antara kedua-duanya adalah dari aspek bidang kuasa.
“Malah mahkamah syariah pernah dikenali dengan pelbagai nama seperti mahkamah orang Islam, mahkamah qadi dan mahkamah majistret kelas pertama kerana bidang kuasanya khusus buat guaman yang menyentuh orang Islam Sahaja,” katanya.

Menurut beliau, tidak dinafikan apabila Persekutuan hendak ditubuhkan secara interim pada tahun 1948, Kerajaan Negeri Melayu dan Negeri Selat bersetuju untuk mewakilkan sebahagian kuasa kepada pihak berkuasa Persekutuan Tanah Melayu dan itu berlaku melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Justeru, katanya, tidak timbul isu mahkamah syariah lebih rendah taraf disebabkan mahkamah awam (sivil) disebut dalam Perlembagaan Persekutuan kerana punca kuasa Perlembagaan Persekutuan itu sendiri datangnya dari kedaulatan raja-raja yang merupakan pemerintah negeri.

“Namun begitu, tindakan Kerajaan Negeri Kedah adalah tepat kerana melalui penggubalan itu, mahkamah tidak boleh lagi sewenang-wenangnya membuat tafsiran mengikut maklumat yang terhad setakat apa yang ada dalam laporan Suruhanjaya Reid.

“Mahkamah perlu dibantu oleh sumber serta sejarah perundangan yang lebih tepat dan menyeluruh termasuklah rujukan kepada peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN