Kecuaian isu Batu Puteh satu pengkhianatan - Anwar

Kecuaian isu Batu Puteh satu pengkhianatan – Anwar

ANWAR Ibrahim menyerahkan Jalur Gemilang kepada pelajar, Sai Rakesh Vijayan pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kecuaian negara terhadap isu Batu Puteh adalah satu pengkhianatan.

Perdana Menteri berkata, beliau mengakui tidak banyak negara di dunia mahu menyerahkan walaupun  satu ‘batu kecil’.

“Tidak banyak negara di dunia yang pandang enteng satu inci tanah dan satu batu kecil diserah kepada negara lain dengan mudah.

“Ya, kita terima kenyataan termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Ia kepulauan kecil tapi kerana kecuaian kita, kecuaian itu bawa pengkhianatan kepada negara.

“Mana ada negara di dunia yang lepaskan kawasan dengan mudah, negara negara berperang kehilangan ribuan nyawa hanya untuk pertahankan wilayah kecil,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Katanya, sebab itu Kerajaan Madani setuju adakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen.

 Anwar berkata, RCI itu diwujudkan bagi melihat kenapa Batu Puteh itu boleh terlepas kepada orang lain.

“Kalau benar orang fikir ini masalah kecil, itu ada benda yang tidak kena. Sebab itu kita akan bentangkan di Parlimen dan izinkan perbahasan di Parlimen.

“Kita mahu isu ini dijadikan iktibar bahawa negara ini terbentuk dengan pahit getir dan darah pejuang selama ratusan tahun melawan penjajah demi penjajah.

“Sudah terlanjur (ya, isu itu sudah berlalu) tetapi pengajaran mesti dan wajib,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan laporan RCI bagi mengkaji isu Batu Puteh sudah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri oleh pengerusinya, Tun Md Raus Sharif.

Katanya, Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya laporan suruhanjaya itu dibentangkan di Parlimen.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN