KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada tindakan menggantung keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diteruskan akan ditentukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian bagi mengulas gambar yang viral petang semalam antara dia dan Tajuddin saling berpelukan ketika ketika bertemu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
“Saya akan bawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Majlis Tertinggi (MT) untuk keputusan,” katanya ringkas selepas Lawatan Ekplorasi TVET di Dewan Tun Dr. Ismail, WTC, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Tajuddin digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal kerana kritikan terbuka terhadap parti itu.
Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat MT UMNO yang diadakan pada 30 September 2022.
Selain itu, Tajuddin turut menyifatkan Presiden UMNO sebagai ‘liabiliti’ untuk parti itu dan menggesanya meletak jawatan.
Bagaimanapun, pada 21 Julai 2023, beliau dilaporkan sudah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun permohonannya tidak dibalas dan tidak berhasrat untuk merayu lagi.
Semalam, Tajuddin dilapor hadir Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) dan dengan nada sebak, beliau menjelaskan sangat rindu untuk menghadiri PAU walaupun digantung UMNO selama enam tahun.
Malah katanya, semangatnya tidak pernah luntur dan terus akan berjuang dengan parti keramat orang Melayu itu. – UTUSAN