KDN semak Akta 7, beri peluang kedua nama tersenarai

KDN semak Akta 7, beri peluang kedua nama tersenarai

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menyemak semula Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan itu penting bagi membolehkan nama-nama yang tersenarai dalam akta itu ‘dibersihkan’ bagi membolehkan mereka diberi peluang kedua.

Beliau berkata, pihaknya telah memulakan siri perbincangan dalaman dan dijangka tidak mengambil masa lama untuk ke peringkat seterusnya.

“Hasrat (semakan akta) sebenarnya adalah pertama untuk melihat kembali akta itu sebab nama-nama dalam akta itu sudah mencecah tujuh digit.

“Justeru, semakan itu penting bagi membolehkan mereka diberi peluang kedua. Mudah untuk mereka minta lesen perniagaan, keluar negara dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Katanya, pihaknya mendapati nama-nama yang tersenarai dalam akta itu termasuk individu yang terlibat dalam jenayah di mana telah melalui proses jatuh hukuman serta rayuan ditolak.

Manakala, kategori lain pula, Saifuddin berkata, nama yang masuk dalam rekod akta itu juga adalah individu yang telah disiasat polis dan dibuka kertas siasatan, namun tidak berakhir dengan pertuduhan.

“Kami belum lagi buat apa-apa keputusan mengenai semakan akta itu. Malah, pihak polis dan kepimpinan tertingginya sedang meneliti topik ini,” katanya.

Katanya, pihaknya mendapati, individu yang dikaitkan dengan akta ini sukar memohon pekerjaan dan lesen perniagaan kerana tersangkut pada tapisan sedia ada.

Justeru, katanya, pihaknya mahu mereka ini diberi peluang kedua namun, ia harus dilakukan dengan penuh cermat selain melihat beberapa aspek penting.

“Jadi inilah pertimbangan yang kami sedang teliti. Kami akan semak balik jadual-jadual kesalahan atau yang membawa kepada nama-nama itu dimasukkan dalam rekod ataupun dalam senarai orang tidak diingini.

“Semakan turut membabitkan tafsiran definisi atau mengeluarkan perkara yang bertindih. Kami juga akan melihat sama ada Akta 7 itu perlu dipinda atau memadai Menteri Dalam Negeri ‘invoke’ akta itu bagi memberi ruang budi bicara dan pertimbangan Menteri,” katanya.

Ditanya jumlah atau sasaran nama-nama yang ingin ‘dibersihkan’ dari rekod itu, Saifuddin berkata, tiada jumlah ditetapkan lagi kerana ia baru di peringkat semakan.

“Kami akan memproses dan menganalisis data dalam rekod itu terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya