KDN laksana pusingan kerja lebih kerap, elak langgar integriti

KDN laksana pusingan kerja lebih kerap, elak langgar integriti

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 dan Perhimpunan Bulanan KDN di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan pusingan kerja lebih kerap bagi mengelak berlaku lagi pelanggaran integriti susulan penahanan beberapa anggota Jabatan Imigresen (JIM) kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu penting kerana KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa terhadap mana-mana anggota badan penguat kuasa di bawahnya.

“Jadi di sebalik penegasan berulang kali, tapi masih berlaku lagi, jadi di pihak kami, akan melihat lagi aspek dari sudut penempatan, malah ia turut ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Soal pusingan kerja penting bagi mengelakkan bahagian tertentu yang berlama-lama di suatu tempat yang mungkin mengundang keadaan (pelanggaran integriti).

“Bukan maksudnya berada di situ berlama-lama, sah akan melakukan pelanggaran integriti. Tidak, tetapi sebagai kaedah dari segi sistem pentadbiran dan pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan sindiket yang membawa masuk warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau laluan ‘kaunter khas’.

Susulan itu, SPRM menahan reman 11 individu termasuk empat penguat kuasa JIM yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN