Kaedah menyelam terlampau berisiko – KP Bomba

Kaedah menyelam terlampau berisiko – KP Bomba

Operasi SAR di tanah jerlus Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dihentikan pada 31 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) merumuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden lubang benam di Masjid India dengan menggunakan kaedah selaman adalah terlampau berisiko.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, rumusan itu adalah berdasarkan maklum balas daripada dua penyelam skuba yang melakukan aktiviti selaman kira-kira pukul 4 pagi tadi.

“Dan selepas kita berbincang secara taktikalnya dan berdasarkan maklum balas daripada dua orang yang masuk dalam tadi (menyelam), saya dapat rumuskan ia terlampau berisiko untuk kita cuba meneruskan usaha secara penyelaman dan juga secara fizikal untuk mengesan mangsa.

“Seterusnya, kita juga hantar dua unit kamera dalam air (underwater camera), walaupun kita dapat imej-imej kain tetapi buat masa ini kita tak boleh katakan bahawa itu adalah kepunyaan sesiapa sebab dalam itu memang macam-macam (sisa), tapi ada imej kain yang dua-dua kamera itu dapat rakam.

“Itu (antara imej) yang kita dapat tetapi suka saya maklumkan secara nyatanya berdasarkan (rakaman) kamera itu, tidak ada yang menunjukkan imej body (mangsa) sebab arus air bergerak begitu,” katanya kepada pembe­rita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos Tahun 2024 di sini semalam.

Terdahulu media melapor­kan, operasi SAR yang memasuki hari kelapan hari ini difahamkan masih memfokuskan kepada usaha untuk merungkai backlog membabitkan timbunan sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian yang dikesan semalam.

Ini susulan selaman pada pukul 4 pagi semalam oleh dua penyelam skuba dari Akademi JBPM Wilayah Utara sekali lagi tidak berhasil selepas hampir setengah jam selaman.

Mengulas lanjut, Nor His­ham berkata, antara faktor risiko yang dikenal pasti termasuk lah aliran air bawah tanah yang deras, ruang yang sempit untuk menyelam, sisa-sisa sampah serta backlog keras yang menjadi penghalang di kawasan carian.

“Sebelum ini kita guna dua unit pam, semalam kita tambah satu unit (lagi), satu bomba punya dan dua lagi pam dari IWK (Indah Water Consortium). Dan pada pukul 4 pagi (air) berada di paras yang selamat untuk hantar penyelam, jadi kita telah hantar seorang penyelam dan seorang lagi pekerja kumbahan yang bia­sa dengan reka bentuk saluran itu.

“Jadi kita masuk kira-kira 20 minit (dan) 18 meter ke dalam dan kita dapati apabila sampai di situ (kawasan pencarian), tiada ruang untuk orang nak masuk, jadi tak boleh nak pergi (teruskan) dan ruang itu sangat sempit, penyelam pun terpaksa meniarap untuk masuk.

“Dalam masa sama, berlaku peningkatan air jadi kita telah bersetuju untuk ‘withdraw’ pasukan skuba kerana terlampau berisiko tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan itu, satu mesyuarat bersama pihak pasukan SAR terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Mineral dan Geosains serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Za­liha Mustafa diadakan pada petang semalam.

Jelasnya, mesyuarat itu antaranya bertujuan menentukan hala tuju operasi yang sete­rusnya termasuk kaedah-kaedah lain yang boleh digunakan untuk pencarian mangsa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN